Terengganu ketiga tertinggi suntikan harian vaksin

Dr Alias Razak
- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU: Ketika angka baharu Covid-19 meningkat naik kepada 22,242 kes dan tertinggi direkodkan pada hari Rabu, sebaliknya Terengganu menjadi negeri ketiga mencatatkan jumlah suntikan harian vaksin tertinggi seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, Terengganu merupakan negeri ketiga tertinggi dalam suntikan harian vaksin, selepas yang pertama Johor sebanyak 33,092 dos dan Sabah 30,602 dos.

- Advertisement -

Katanya, Terengganu yang kini mempunyai 25 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) negeri termasuk PPV Taman Tamadun Islam (TTI), PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan PPV Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

Menurutnya, usaha mempercepatkan suntikan vaksin di negeri ini sedang giat dilakukan secara all out menerusi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Berdasarkan sumber Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), jumlah pemberian dos vaksin di negeri (Terengganu) ini kelmarin adalah sebanyak 28,479 suntikan terdiri daripada 19,825 dos pertama dan 8,654 dos kedua. Ia merupakan kenaikan berbanding sejumlah 10,179 dos pada 9 Ogos lalu.

“Kerajaan negeri bersama pelbagai pihak sedang all out memastikan PICK diteruskan secepat dan sebaik mungkin melalui pelbagai PPV seperti program ‘Outreach’, Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).

“Jangkaan pada hujung bulan ini, kita akan mencapai 40 peratus (808,400 orang) lengkap vaksinasi bagi populasi dewasa dan mencapai nilai ambang salah satu indikator nilai ambang bagi peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” ujarnya.

Justeru, kata Dr Alias berita baik buat masyarakat Terengganu bahawa kerajaan negeri akan menerima sebanyak 583,120 dos vaksin sehingga penghujung bulan Ogos ini.

“Sekitar Ogos juga, negeri ini akan menerima sebanyak 583,120 dos vaksin yang merupakan lagi berita baik buat masyarakat supaya negeri ini dapat mencapai kelompok imuniti sebelum masuk musim tengkujuh,” ujarnya ketika bersiaran langsung di TVDI, pada Rabu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal menjelaskan, secara keseluruhan jumlah kumulatif pemberian dos pertama kini mencecah 41.2 peratus daripada jumlah populasi 518,691 dos pertama manakala, 24 peratus telah lengkap suntikan kedua-dua dos.

Oleh itu katanya, Terengganu mencatatkan peningkatan hampir dua kali ganda dalam pemberian dos vaksin harian berbanding minggu lepas, berdasarkan laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKVAV). – HARAKAHDAILY 19/8/2021

- Advertisement -