Rakyat dinasihatkan kekal bertenang – KPN

Acryl Sani minta rakyat terus kekal bertenang. Foto SAIFUL MUSTAFA
- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

- Advertisement -

KUALA NERUS: Orang ramai dinasihatkan untuk terus kekal bertenang meskipun negara sedang menghadapi krisis kepimpinan hingga membawa peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta anggota kabinetnya.

Ketua Polis Negara (KPN), Dato’ Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau yakin dan percaya setakat ini tiada isu ketenteraman awam dibangkitkan dalam situasi pergolakan kepimpinan negara hari ini.

Bahkan, kata beliau isu cuti semua anggota keselamatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dibekukan tiada kaitan dengan pilihan raya, cuma bagi memastikan anggotanya dalam keadaan siap sedia.

“Ketenteraman awam, saya yakin dan percaya setakat ini tiada isu. Pihak Polis juga berharap agar orang ramai untuk terus kekal bertenang dan menunggu apakah keputusan yang dibuat bagi (peringkat) Parlimen nanti, Insya’Allah.

“Pihak Polis ini sentiasa dikehendaki dalam keadaan siap sedia dan isu cuti yang ‘dibekukan’ itu sebenarnya pentadbiran sahaja. Dalam siap sedia itu, sekali kita (PDRM) akan mengetatkan pemberian dan pelesan cuti, bagi memastikan tahap siap sedia itu sentiasa ditepati,” ujarnya.

Dato’ Seri Acryl Sani menyerahkan sesuatu kepada Sarjan (B) Jali Dawi ketika kunjungannya Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan pihak media ketika lawatan kerjanya ke Terengganu selepas mengunjungi seorang pesara polis di Taman Permint Perdana, Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Nerus, pada 17 Ogos lalu.

Menurutnya, sumbangan disampaikan kepada anggota pesara polis yang juga merupakan rakan karib ketika pernah bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) PDRM negeri Terengganu.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk bertemu dengan pesara-pesara polis yang telah berkhidmat dengan saya di Terengganu pada tahun 2006, (untuk) memberi sedikit sumbangan ikhlas daripada pembantu kita dan kontinjen PDRM (Terengganu). Diharapkan dengan sedikit sumbangan ini akan mengeratkan hubungan kita dengan pesara-pesara PDRM.

“Mengikut rekod yang kita simpan memang banyak di seluruh negeri. Dia melibatkan fasa pertama telah selesai dan sekarang fasa kedua dan ini berterusan sehingga kita merasakan bahawa keadaan pandemik Covid-19 dan masyarakat telah kembali pulih. Ini untuk sama-sama berkongsi kesulitan dengan masyarakat setempat,” jelasnya.

Sebelum itu, Dato’ Seri Acryl Sani turut melakukan kunjungan hormatnya kepada Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah di Istana Syarqiyyah Bukit Chendering, Kuala Terengganu, setelah dilantik menjadi Ketua Polis Negara yang baharu. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

- Advertisement -