Pendita Yahudi menguji sifat sabar Nabi

- Advertisement -

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 6)

Zaid bin Su’nah, seorang pendita Yahudi berkata: :Tidak ada tanda-tanda kenabian melainkan aku telah lihat pada wajah Nabi Muhammad SAW ketika aku melihatnya kecuali 2 tanda yang belum aku dapati iaitu: sifat lemah-lembutnya mengatasi sifat jahilnya, dan makin kuat kejahilan yang dibuat kepadanya, makin sabar dan lembut Nabi menghadapinya.’

Zaid berkata lagi: ‘Aku berlembut dengannya (Nabi) supaya aku dapat mendekati dan bergaul dengannya, sehingga aku tahu sifat lemah-lembut, kesantunan dan di mana sifat jahilnya. Lalu aku jual kurma kepadanya dan biarkan dia (Nabi) berhutang.’

Dalam riwayat Abu Nuaim: ‘Sebelum Zaid masuk Islam, beliau telah memberi hutang kurma sebanyak 80 mithqal emas kepada Nabi hingga tempoh tertentu.’

Sebelum masa bayar hutang tiba 2, 3 hari, Zaid menemui Nabi. Dia pegang baju Nabi dan kainnya, lalu ditarik ke leher Nabi iaitu berlaku kasar kepada Nabi.

Zaid lihat wajah Nabi dengan bengis dan berkata: ‘ Tidakkah kamu mahu menyelesaikan hutangku wahai Muhammad? Demi Allah! Kamu wahai Bani Abdul Muttalib memang payah bayar hutang!’

Melihatkan demikian, Umar berkata: ‘ Hei musuh Allah! Kamu kata kepada Rasulullah, apa yang aku dengar? Demi Allah! Kalau tidak kerana aku bimbangkan sesuatu, tentu aku pancung lehermu dengan pedangku!’

Nabi SAW bersabda: ‘Aku dan dia sebenarnya lebih berhajat kepada perkara yang lain wahai Umar; engkau suruh aku bayar hutang dengan baik dan engkau suruh dia minta hutang dengan baik.’

Nabi bersabda lagi: ‘Pergi wahai Umar! Bayar hutangnya dan tambah 20 gantang kurma lagi sebagai ganti ugutan kamu kepadanya.’

Umar laksanakan suruhan Nabi.

Zaid berkata: ‘ Wahai Umar! Semua tanda kenabian Nabi, aku sudah lihat pada wajah Rasulullah SAW ketika aku melihatnya melainkan 2 perkara yang aku tidak diberitahu: sifat lemah-lembutnya mengatasi sifat jahilnya, dan makin kuat kejahilan yang dibuat kepadanya, makin sabar dan lembut Nabi menghadapinya. Aku sudah mengujinya. Maka saksikanlah wahai Umar bahawa aku redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama, Muhammad sebagai Nabi.’

Dalam satu riwayat lain, Zaid berkata: ‘Wahai Umar! Tidak ada perkara yang menyebabkan engkau lihat aku buat kepadanya melainkan kerana aku lihat sifatnya (Nabi) dalam Taurat, semuanya ada melainkan sifat lemah-lembut. Sebab itu aku uji sifat itu hari ini. Aku dapati ia sama seperti dalam Taurat. Aku menyaksikan bahawa kurma ini dan sebahagian hartaku adalah untuk orang fakir di kalangan orang Islam.’ Zaid masuk Islam bersama keluarganya, melainkan seorang tua yang degil.

(Muhammad Rasulullah, Sheikh Abdullah Sirajuddin mukasurat 176-177)

Beberapa pengajaran:

  1. Pendita Yahudi adalah orang terpelajar, berpengetahuan, termasuk mengenai sifat Nabi. Logiknya, orang yang ada ilmu pengetahuan, lebih mudah menerima kebenaran apabila melihatnya dengan jelas. Malang apabila orang yang ada ilmu menjadi penentang kepada kebenaran. Namun itulah realiti yang berlaku dalam sejarah. Ahli kitab yang tahu dan faham menjadi penentang kepada Nabi.
  2. Sifat lemah-lembut dan kesantunan Nabi bukanlah sifat yang dibuat-buat, tetapi ia adalah sifat yang sebati dalam diri Nabi. Sebagai umatnya, kita wajib berusaha untuk bersifat demikian. Bukan satu perkara yang mudah, apabila diprovokasi dengan tindakan dan ucapan yang kotor, jelek dan tidak berakhlak, lalu kita menolaknya dengan tenang. Namun itulah suatu ketinggian akhlak yang tidak mudah dimiliki.
  3. Respon Umar menunjukkan beliau sangat sensitif terhadap orang yang cuba berlaku jahat kepada Nabi. Mempertahankan tubuh Nabi adalah wajib, sebagaimana mempertahankan ajaran Islam juga wajib.
  4. Bayaran pampasan kurma yang diberi oleh Nabi memperlihatkan sifat ihsan tahap tinggi, sehingga menyebabkan Zaid terbuka hati menerima Islam. Sememangnya akhlak terpuji boleh membuka hati orang yang mahu menjadi baik. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu

- Advertisement -