Gondol bukit punca tanah runtuh, banjir kilat

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff di lokasi banjir petang semalam.
- Advertisement -

BALIK PULAU: Aktiviti penggondolan tanah tinggi yang tidak dikawal Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan penyumbang terbesar sering berlakunya kejadian tanah runtuh di negeri berkenaan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, kesan daripada aktiviti tersebut mengakibatkan struktur pokok yang bertindak sebagai zon penampan air tidak lagi mampu berfungsi dengan baik.

- Advertisement -

“Bila bukit-bukit digondol, maka bila hujan akan berlaku hakisan dan menyebabkan tanah-tanah yang mengikat batu-batu besar tersebut terhakis, lalu mengakibatkannya tergelongsor daripada cerun itu.

“Pembangunan di lereng bukit ini memang berisiko tinggi jika pokok-pokok ditebang sebab struktur dia tak kuat yang menjadi aliran mata air, kalau aliran mata air ini ditutup akan menyebabkan berlakunya hakisan dan tanah runtuh bila hujan lebat.

“Kalau dibuat simen untuk menahan cerun tersebut, tetapi hakisan ini berlaku di bawah tanah lalu menyebabkan struktur atau bata yang berada atas tidak kuat, maka simen tersebut akan pecah dan jatuh,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Muhammad Fauzi berkata, aktiviti penggondolan tidak terkawal ini turut menjejaskan ekosistem struktur tanah sedia ada yang bertindak sebagai agen semula jadi serapan air.

“Kalau dulu, lebih kurang dalam 40 peratus sahaja limpahannya ke sungai kalau hujan turun, manakala pokok dan tumbuh-tumbuhan di bukit ini pula menyerap air dalam 60 peratus.

“Tapi bila penggondolan bukit dibuat, bukit-bukit ditarah menyebabkan air ini kemungkinan 80 peratus ataupun dalam 70 peratus terus turun ke sungai, sebab itulah sungai itu tidak dapat menampung jumlah air yang turun yang menyebabkan berlaku limpahan air banjir kilat.

“Hakisan berlaku disebabkan oleh penggondolan bukit-bukit yang tiada kawalan, pembangunan-pembangunan dan pengusaha ladang durian menyebabkan bila hujan yang lebat di bukit ini, ia akan berlaku aliran air yang deras dan berlaku hakisan sekaligus pembangunan di lereng bukit ini sangat berisiko tinggi,” ujarnya.

Menurut beliau, tiada sebarang tindakan drastik yang diambil kerajaan negeri berkenaan bagi mengatasi isu banjir serta isu hakisan tanah yang mengakibatkan pelbagai insiden di lereng bukit berlaku.

“Jadi nampak seolah-olah kerajaan negeri ini melepas tangan saja, aktiviti-aktiviti penggondolan bukit ini berlaku dengan penuh berleluasa, jadi kalau kata waktu hujan akan menyebabkan banjir kilat.

“Waktu kemarau pula menyebabkan pusat tadahan air ini akan kering, di sungai ini tidak ada bekalan dan sumber air, jadi waktu kemarau akan jadi kering kontang, air tak ada, waktu hujan dia akan sebabkan banjir kilat dan hakisan-hakisan yang berlaku,” katanya lagi.

Katanya, kesan aktiviti tersebut memberi tekanan kepada penduduk sekitar yang menetap di kawasan tanah rendah yang berisiko berdepan banjir kilat akibat tampungan air yang melimpah.

“Bila pokok-pokok ditebang, aliran air akan berlaku dengan deras, masuk ke dalam sungai, jadi tanah-tanah yang digondolkan akan hakis pula tanah merah itu, daripada banjir tadi, dia akan jadi mendapan, mendapan sungai akan jadi cangkat, bila berlaku lagi hujan, paras air akan meningkat.

“Penggondolan bukit beri kesan yang sangat besar sebenarnya seperti banjir kilat. Banjir kilat berlaku kerana air tak dapat dikawal sebab saliran yang ada tak menampung jumlah air yang datang mendadak,” katanya.

Tambahnya, jika dahulu keadaan bukit dan tanah-tanah tinggi tidak mengalami situasi seteruk kini yang mengakibatkan pelbagai kesan, termasuk tanah runtuh dan banjir kilat.

“Dulu hutan-hutan tak digondolkan, jadi, aliran air berlaku dengan sistematik, air turun secara berperingkat, bila banjir tu dia akan masuk paya dan sawah padi.

“Jadi sekarang ini sawah padi semakin ditambak, kemudiannya bukit pun semakin digondol, jadi sistem air tu dah tak elok, tak berfungsi dengan baik yang menyebabkan air turun terus tanpa kawalan.

“Selama yang Allah buat ni ikut sunnatullah, bila ada pokok besar, dia akan timpa pokok kecil, pokok renek dan sebagainya. Jadi pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan akan menyerap air sebelum dialirkan secara berperingkat dan bersistematik turun ke sungai dan pergi ke laut.

“Kalau berlaku banjir, limpahan akan berlaku di kawasan sawah padi dan paya, kemudian bila air sungai surut, air sawah padi akan mengalir ke dalam sungai barulah dialirkan ke laut.

“Jadi selama ini berlaku begitu, ia berlaku melimpah pun taklah seteruk sekarang ini yang mana banjir kilat boleh kata teruk juga, rumah yang tak pernah masuk air pun dimasuki air,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -