Banjir: Seorang terkorban, dua lagi masih hilang

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Seorang ditemui terkorban, manakala dua lagi masih hilang dalam kejadian banjir di kaki Gunung Jerai, Yan, kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Menurut sumber Bilik Gerakan Bencana Daerah Yan, arus deras telah menyebabkan berlakunya tanah runtuh di Gunung Jerai selain turut melibatkan rumah tumpangan di kawasan rekreasi Chalet Salak Denai.

Berdasarkan maklumat awal seramai 60 penduduk telah dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan sementara anggaran mangsa sebenar masih dalam bancian.

- Advertisement -

“Terdapat 14 mangsa banjir positif Covid-19 dan ditempat ke Sekolah Kebangsaan Teroi dan 45 orang masih lagi dalam kuarantin,” maklumnya.

Kejadian mendadak itu berlaku berikutan hujan lebat berterusan di Gunung Jerai dan mengakibatkan beberapa buah kampung berhampiran sungai dilanda banjir.

Antaranya Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

“Air mengalir sangat laju dari Gunung Jerai ke kaki gunung dan menyebabkan limpahan air secara mendadak di Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi,” katanya.

Sementara, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa yang lain termasuk Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad hadir ke bilik gerakan, Pejabat Daerah Yan untuk mendengar taklimat berkenaan kejadian itu.

Berikutan itu sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkenaan kejadian itu boleh menghubungi  bilik gerakan  Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)  di talian 04-702 8799.

Kejadian petang itu dianggap oleh penduduk setempat antara yang terburuk dibandingkan banjir sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, musibah banjir berkenaan merupakan fenomena kepala air yang berlaku di kawasan Puncak Gunung Jerai dan tiada kaitan dengan aktiviti pembalakan.

Hutan Simpan Gunung Jerai antara yang diwartakan sebagai Hutan Perlindungan dan tiada aktiviti pembalakan di kawasan itu. – HARAKAHDAILY 18/8/2021

- Advertisement -