Analisis pemimpin dan gabungan parti pilihan rakyat

- Advertisement -

SATU kajian lapangan telah dijalankan oleh QgenAnalysts (QGA) untuk mendapatkan pandangan rakyat di kawasan luar bandar (zon tengah) berkaitan pemimpin dan gabungan parti pilihan mereka secara bersemuka di antara 2 April hingga 25 Jun 2021.

- Advertisement -

Gabungan parti politik

Secara umumnya, gabungan parti politik yang menjadi pilihan utama responden adalah Perikatan Nasional (PN) sebanyak 39 peratus dan diikuti dengan Barisan Nasional (BN) iaitu 15 peratus. Pilihan seterusnya adalah Muafakat Nasional (MN) 13 peratus dan Pakatan Harapan (PH) 9 peratus.

Antara faktor utama rakyat luar bandar memilih sesebuah gabungan parti politik adalah gabungan yang mengutamakan pemulihan ekonomi negara, usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa. Kaum India memilih gabungan yang mengutamakan keharmonian majmuk. Golongan kakitangan kerajaan dan tidak bekerja pula, memilih gabungan yang mengutamakan kebajikan rakyat.

Rakyat luar bandar menolak gabungan parti politik yang disabitkan dengan isu rasuah, pertelingkahan dalaman parti dan gagal menunaikan manifesto. Mengganggu kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera merupakan faktor tertinggi mempengaruhi kaum Melayu dalam menolak sesuatu gabungan. Kaum Cina menolak gabungan atau parti yang disabitkan dengan isu rasuah manakala kaum India menolak gabungan atau parti yang ada pertelingkahan dalaman parti.

Pemimpin pilihan

Secara umumnya, pemimpin utama pilihan responden yang diyakini dapat menerajui Malaysia adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) diikuti Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Najib Razak. Walau bagaimanapun, pemimpin pilihan kedua bagi kaum Cina dan India selepas TSMY adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara faktor utama rakyat memilih sesebuah pemimpin adalah pemimpin berintegriti, berwibawa dan mesra rakyat. Walau bagaimanapun, kaum Melayu memilih yang beragama sebagai ciri paling utama sebagai pemimpin.

Prestasi Kerajaan PN

Secara umumnya, rakyat luar bandar menerima baik pelbagai inisiatif kerajaan. Antara yang menjadi pilihan utama adalah usaha menjaga keharmonian sosial melalui Dasar Perpaduan Negara dan usaha kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19. Kaum Cina juga turut menerima baik usaha kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan misalnya melalui inisiatif PENJANA. Bagi golongan suri rumah dan tidak bekerja, usaha perisytiharan Darurat oleh kerajaan juga diterima dengan baik.

Secara keseluruhan, kaum Melayu memberikan skor yang paling tinggi terhadap prestasi kerajaan berbanding kaum Cina dan kaum India 

Untuk analisis lengkap dalam bentuk pdf dan infografik, anda boleh layari lawan sesawang QGA di https://qgenanalysts.org/analisa8/

QGENANALYSTS – HARAKAHDAILY 18/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/2284919521796917/posts/2980719655550230/

- Advertisement -