Agong tangani kemelut politik secara penuh bijaksana

- Advertisement -

KEBIJAKSANAAN Yang di-Pertuan Agong (YDPA) jelas terserlah di dalam cara Seri Paduka menangani isu peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

- Advertisement -

Pertamanya ialah kerana setelah menerima peletakan jawatan ini Seri Paduka terus melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri caretaker sekali gus mengelakkan dakwaan memihak kerana ia adalah selari dengan amalan sebelum ini membabitkan lantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim setelah beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari 2020.

Keduanya ialah kerana kecepatan Seri Paduka berkenan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara sehari selepas peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selain pemberian tempoh untuk semua 220 ahli Dewan Rakyat mempersembahkan surat akuan (statutory declaration) sehari kemudian yang membayangkan keseriusan Seri Paduka untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku sesegera mungkin.

Ketiganya ialah kerana ketelitian Seri Paduka membuat keputusan dengan melibatkan Sultan Perak di dalam sesi menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama tersebut atas kapasiti sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong selain memanggil dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa pada 20 Ogos selaras dengan kehendak syura walaupun Seri Paduka sebenarnya tidak dituntut oleh Perlembagaan Persekutuan supaya berbuat demikian.

Keempatnya ialah kerana ketegasan Seri Paduka yang mahukan pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin dengan menitahkan supaya Perdana Menteri yang telah dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat supaya tidak akan timbul sebarang pertikaian ke atasnya sekali gus menjadikan proses pembuatan keputusan dapat dilakukan secara lebih telus dan terbuka.

Kelimanya ialah kerana kematangan Seri Paduka yang mahukan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik selain mengingatkan supaya, demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan, di mana ini sepatutnya mendorong parti-parti politik untuk tidak bersikap konfrontatif.

Saya amat optimis bahawa dengan kebijaksanaan Seri Paduka, yang bersungguh-sungguh mahu memastikan permasalahan yang berlaku sebelum ini akan berulang lagi, pembentukan sebuah kerajaan baru yang lebih stabil akan dapat dilakukan dengan lebih cepat sekali gus menyaksikan kemelut politik ini tidak berpanjangan dan seterusnya tumpuan akan dapat kembali diberikan kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 yang telah meragut sekian banyak nyawa dan usaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk kerananya.

Adalah diyakini juga bahawa pemilihan Perdana Menteri yang paling ketat dalam sejarah negara ini, khususnya titah supaya Perdana Menteri yang telah dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, akan memberi ruang yang lebih luas untuk Perdana Menteri tersebut menambahkan sokongan kepada beliau, termasuklah dengan cara menjadikan pentadbiran beliau lebih inklusif dan akomodatif sepertimana dititahkan.

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF – HARAKAHDAILY 18/8/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -