Ujian menimpa sedetik kebaikan menjelma

- Advertisement -

Oleh AZAMIN AMIN

TATKALA ujian menimpa, tiada daya untuk sesiapa pun untuk berkata-kata. Sekali ia hinggap, tak mampu untuk mengelakkannya, walaupun sesaat. Titik. Tidak lebih, tidak cepat. Tepat.

Namun seringkali ujian yang datang, pasti ia akan beransur hilang. Langit tidak selalunya cerah, mendung pasti berlalu jua. Begitulah Tuhan menentukan untuk hamba-Nya melintasi dalam kehidupan seharian.

Kehilangan insan tersayang, kewangan yang semakin kurang, kekurangan harta, ketakutan yang mendebarkan dada antara kisah ujian-ujian yang pasti singgah di kehidupan manusia. Itu janji Allah dan supaya kita tahu kita adalah hambanya semata-mata seperti terkandung petikan surah al-Baqarah ayat 155.

- Advertisement -

Begitulah, saat isteri berjurai mengalir air mata tatkala saya menyampaikan pangglian telefon berita, insan tercinta ibunya pergi buat selama-lamanya. Saat yang sama juga, adalah hari pertama saya menerima tawaran kerja demi menampung pendapatan keluarga. Bercampur baur perasaan. Duka dan gembira, bercantum sama. Tatkala ujian menimpa, kebaikan pun turut menjelma. Seperti dalam petikan surah al-Insyirah :”…setiap kesulitan, pasti ada kesenangan…”

Tapi bukanlah galang ganti ujian itu boleh disamakan rasanya apabila menerima kebaikan, namun setiap kesulitan, Allah tidak pernah meninggalkan kita, pasti menghadirkan sesuatu buat kita semua. Paling tidak, apa yang kita perlukan saat itu, Allah kurniakan.

Sebenarnya susah, perit, luka atau pedih seseorang itu tidak boeh diukur dengan apa-apa apatah lagi untuk disamakan antara satu dengan yang lain. Tak sama. Susah itu ‘real‘. Bukan main-main. Barangkali kecil bagi seseorang, tetapi sangat dasyat bagi yang lain malah ujian yang menimpa seseorang, adakalanya bukan sekadar ujian untuk dia sebaliknya ujian untuk kita dan yang lainnya pula.

Bagaimana reaski dan tindakan kita? Adakah sekadar melafazkan :”…besar sungguh ujiann dia…” atau kita serta-merta akan menghulur bantuan atau paling tidak mendoakan. Atau nak sombong, nak merendahkan, nak menghinakan atau nak jadi bahan gurauan? Itu pun sejenis ujian juga. Ujian ada di mana-mana, begitu juga kebaikan.

Allah hadirkan kebaikan tanpa diduga. Allah sayang semua. Saya pernah saksi ramai nama tak didendang di luar sana, mereka orang biasa-biasa saja. Tak siapa kenal mereka. Allah ‘kirimkan’ mereka, untuk mengubat dan sebagai penawar kepada yang lain. Syukur saya, diberi peluang untuk menyaksikan. Orang lain pun pasti ada pengalaman yang sama atau jauh lebih istimewa.

Saya pernah nampak ada insan yang tolong bayarkan gula-gula untuk budak-budak tak cukup duit di kaunter pasar raya. Ada insan yang berhenti tepi jalan, bagi sebotol air mineral pada mereka yang tersadai kereta di lebuh raya. Kelibat budak susah dan baju lusuh masukkan 20 sen dalam tabung surau.

Begitu juga, ada insan tolong bayarkan makanan warga emas dekat restoran. Ada yang hadiahkan pensil dan buku tulis 50 sen kepada kanak-kanak susah, sedangkan dirinya sendiri pun duit cukup-cukup makan.

Seorag pesakit kanser darah, pernah menghubungi saya, bertanyakan nombor akaun, mereka yang kesempitan dan sangat memerlukan wang. Yang sakit kronik bagi derma sedekah kepada yang sihat. Seorang Cina, memandu sejauh sejam perjalanan, semata-mata untuk sumbang RM50.00 kepada seorang ayah, yang anaknya memerlukan sedikit wang. Si buta sebelah matanya bantu seorang pemilik kereta yang pancit tayarnya. Ini berlaku di depan masjid, selepas solat Jumaat. Ramai saksi kejadian itu.

Ada yang tak punya apa-apa, tapi bila orang lain ditimpa bencana dia yang paling awal tiba. Tumpah jua air mata saya bila melihat itu semua. Sungguhpun mereka itu tidak dikenali di bumi, tapi saya percaya nama mereka sentiasa disebut di langit nan tinggi.

Demikianlah Allah mengaturkan, di setiap ujian yang singgah dan menimpa, kebaikan pasti akan menjelma. Pertolongan Allah ada setiap masa, panjatlah doa kepada-Nya. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

- Advertisement -