Tiada parti wajar tolak undang-undang anti lompat

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU ini Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media untuk menawarkan ‘genjatan politik’ kepada pembangkang demi menangani Covid-19 ada menyebutkan tentang komitmen kerajaan bagi mengatasi masalah lompat parti yang sering dikaitkan dengan rasuah dan ketidakstabilan politik dan kerajaan.

Isu ini memang sesuatu yang sangat dekat di hati penulis dan ia telah trigger penulis untuk bercakap mengenainya di dalam rencana ini. Sebelum ini pun penulis pernah menulis rencana tentang perkara ini.

Namun penulis melihat bahawa ramai ahli politik yang mengambil isu ini secara hipokrit iaitu apabila mereka dijatuhkan kerana lompat parti maka mereka akan mengamuk tak cukup tanah mencerca perbuatan lompat parti ini. Namun apabila mereka yang mendapat faedah daripada kejadian lompat parti pasti ada sahaja alasan yang mulus untuk menghalalkannya.

- Advertisement -

Pakatan Harapan (PH) berjaya mempopularkan istilah ‘kerajaan tebuk atap’ kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk pada awal tahun lepas selepas berlaku pergolakan politik dalam pakatan itu sehingga kerajaan mereka tumbang.

Tapi mereka buat-buat lupa ketika usai PRU14, pada masa itu PH-Warisan mendapat 29 kerusi, BN 29 kerusi dan Star dua kerusi di Sabah. BN dan STAR mulanya berjaya membentuk kerajaan Sabah pada 10 Mei 2018 tanpa sesiapa melompat parti.

Namun PH-Warisan telah membentuk kerajaan baharu pada 11 Mei 2018 apabila enam Adun BN melompat kepada PH-Warisan. Dan mereka telah berjaya membentuk ‘kerajaan tebuk atap’ yang pertama selepas PRU14.

Begitu juga kerajaan PH di Kedah dan Perak selepas PRU14 itu. Ketiga-tiga kerajaan ini hanya dapat dibentuk selepas beberapa orang Adun BN melompat menyokong PH pada masa itu. Tapi PH buat-buat tak ingat dan buat ‘lembu kenyang’. Fakta rasmi ini semua boleh ‘Google’. Tapi perangai PH ini, bila orang lain buat dialah paling kuat memaki hamun!

Memang hakikatnya aktiviti lompat parti ini memberi kegembiraan kepada parti yang menerima lompatan dan kedukaan kepada parti asal si pelompat. Jika wakil rakyat parti B melompat ke parti A, maka parti A akan gembira. Jika wakil rakyat parti A pula melompat ke parti B maka parti A akan dukacita.

Lebih dahsyat lagi kerusi itu dijadikan bahan dagangan oleh sesetengah wakil rakyat busuk untuk menagih laba jika ingin mereka menyokong sesuatu parti.

Ini sebabnya mengapa sehingga sekarang undang-undang anti-lompat masih belum dapat dilaksanakan di negara ini. Ini adalah kerana ia boleh jadi kedua-duanya, samada manfaat atau mudarat kepada mana-mana parti politik bergantung kepada arah lompatan itu.

Semasa BN memerintah dahulu mereka tidak mempunyai apa-apa kepentingan untuk menggubal akta ini. Jarang wakil rakyat kerajaan Persekutuan melompat menjadi pembangkang. Ada, tapi sangat ‘rare’.

Namun selepas BN tewas dalam PRU14 BN juga telah merasai peritnya apabila wakil rakyat mereka sendiri melompat ke parti lawan. Dengan itu semua parti di dalam Malaysia ini telah pun merasakan sakitnya wakil rakyat melompat.

Usaha menguatkuasakan undang-undang

Kerajaan Kelantan pernah meluluskan pindaan Enekmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan anti lompat ini pada 25 April 1991.

Namun pada tahun 1992 undang-undang itu telah dicabar di mahkamah dan akhirnya diputuskan bahawa undang-undang itu tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan ia dibatalkan.

Selain Kelantan, Sabah dan Pulau Pinang juga ada undang-undang ‘anti-lompat’ dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri mereka, namun ia tidak dapat dilaksanakan atas sebab yang sama.

Antara alasan yang diberikan ialah dengan menghalang seseorang wakil rakyat itu melompat parti maka ia menghalang hak kebebasan rakyat Malaysia untuk memilih parti yang diingininya. Bagi penulis alasan ini boleh dibincangkan lagi.

Katalah kita membuat satu peraturan bahawa mana-mana wakil rakyat yang melompat parti maka kerusinya akan terbatal dan perlu diadakan pilihan raya kecil. Ini tidak menafikan hak seseorang rakyat Malaysia untuk memilih parti yang ingin disokong.

Ini adalah kerana individu itu tetap bebas memilih parti mana yang ingin disokong. Namun kerusi itu perlu dikosongkan. Kita bukan membuat satu undang-undang apabila seseorang individu itu sudah menjadi wakil rakyat bagi sesuatu parti maka dia mesti kekal dalam parti itu dan tidak boleh beralih parti. Tidak.

Jadi tidak timbul pun undang-undang seperti ini menghalang kebebasan individu untuk memilih parti politik yang ingin disertainya. Jika ada halangan dari segi Perlembagaan Negara maka sama-samalah kita pinda perlembagaan ini.

Perlembagaan boleh diubah dengan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat menyokong. Takkan ada yang tidak mahu menyokong? Bukankah kita sibuk meracau meraung bila wakil rakyat kita melompat? Nah, inilah masanya.

Antara mekanisme yang boleh dipertimbangkan ialah menjadikan sesuatu kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti itu sebagai milik mutlak parti yang memenangi kerusi itu sehingga ke PRU berikutnya.

Ini bermakna jika seseorang wakil rakyat itu menukar parti maka parti yang memenangi kerusi itu boleh menggantikan wakil rakyatnya denga individu lain tanpa perlu mengadakan pilihan raya kecil (PRK).

Ia juga terpakai sekiranya berlaku kematian kepada wakil rakyat. Maka parti yang memenangi kerusi itu boleh menggantikannya dengan orang lain yang layak.

Cuma mekanisme ini perlu diteliti bagi situasi wakil rakyat bebas yang memenangi kerusi sebagai calon bebas. Mungkin untuk mereka sahaja perlu ada PRK jika berlaku kekosongan. Namun kesannya tidak besar kerana sangat sedikit calon bebas yang mampu menang dalam pilihan raya di Malaysia.

Sekiranya ini dapat dilakukan, kerajaan dapat menjimatkan wang untuk mengadakan PRK, kerajaan akan lebih stabil tanpa bimbang mereka akan dijatuhkan tiba-tiba kerana ada wakil rakyat melompat.

Ia juga dapat mengelakkan wakil rakyat melelong kerusi mereka untuk mendapatkan habuan untuk mendapatkan sokongan.

Siapa yang membentuk kerajaan selepas ini kena pastikan ia digubal dan diluluskan sebelum PRU-15. Barulah politik selepas PRU-15 akan stabil. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

- Advertisement -