Portal MyFutureJobs laman terbaik pencari kerja

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kelantan dengan kerjasama PERKESO mengambil inisiatif mengadakan Mini Karnival Kerjaya dan Usahawan Wanita Peringkat Negeri Kelantan pada 18 dan 19 Ogos ini.

Menurut Pengarah PERKESO Negeri Kelantan, Nora Yaacob, program itu menarik penyertaan 10 majikan dengan membuka 1500 kekosongan jawatan kepada pencari kerja khususnya di Kelantan.

Beliau berkata, program yang diadakan secara atas talian tersebut tidak menjadi kekangan, malah menjadi medium akses mudah kepada majikan dan pencari kerja menjalani sesi temuduga.

- Advertisement -

Katanya, penganjuran program tersebut dimeriahkan dengan sesi taklimat berkaitan persediaan sebelum temuduga, ketrampilan diri, perkongsian oleh usahawan-usahawan dan juga taklimat Portal MyFutureJobs.

“Karnival ini diharap membantu masyarakat mendapatkan pekerjaan sekaligus mampu mengisi peluang pekerjaan yang ditawarkan.

“Di Kelantan pada tahun 2020 sebanyak 2,484 kes kehilangan pekerjaan telah diluluskan dengan jumlah bayaran faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan sebanyak RM7 juta.

“Manakala sehingga 31 Julai 2021 pula sebanyak 495 kes kehilangan pekerjaan telah diluluskan dengan keseluruhan bayaran sebanyak RM4 juta,” katanya di sini.

Pelbagai usaha dijalankan PERKESO Kelantan dalam usaha membantu penempatan pekerjaan terutama dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, sehingga 15 Ogos 2021 di Portal MyFutureJobs, statistik bagi negeri Kelantan menunjukkan terdapat 42,502 individu yang mencari pekerjaan telah berdaftar.

Di samping itu 1,299 majikan turut berdaftar di portal tersebut serta sebanyak 3,800 jawatan kosong diiklankan.

Portal MyFutureJobs merupakan Portal Pekerjaan Negara yang membantu pencari kerja mendapat pekerjaan melalui padanan pekerjaan bersesuaian dan turut memudahkan majikan mencari tenaga kerja.

Nora juga berkata, bagi mereka yang sedang mencari kerja di Kelantan disarankan untuk berdaftar dan menggunakan Portal MyFutureJobs (www.myfuturejobs.gov.my) untuk mencari pekerjaan.

Ini kerana katanya, portal tersebut adalah medium terbaik dalam menghadapi cabaran normal baharu dan mampu mengurangkan kadar penggangguran di negara ini.

Mini karnival itu dijangka dirasmikan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Zurina Abd Hamid. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -