PN berjaya tadbir negara ketika pandemik Covid-19

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MAHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara ketika gelombang pandemik Covid-19 tidak mampu dinafikan lagi.

Pengerusi PN Perlis Mohd Shukri Ramli berkata, sepanjang kira-kira 18 bulan menerajui negara kerajaan PN membawa banyak perubahan dan kejayaan.

Katanya, antara kejayaan ketara yang dicapai kerajaan PN ialah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

- Advertisement -

“Malaysia menjadi antara negara yang mencatatkan jumlah vaksinasi harian tertinggi di dunia pada Julai lepas.

“Selain itu pakej-pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan berjaya merancakkan kembali ekonomi negara selepas melalui beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya di sini.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghantar surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong setelah kerajaan PN hilang sokongan majoriti ahli parlimen.

Sokongan tersebut hilang selepas 15 ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadap Muhyiddin. Bagaimanapun 26 lagi ahli parlimen Umno dan BN kekal menyokong perdana menteri.

Yang di-Pertuan Agong kemudian melantik sebagai Muhyiddin bagi menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara (caretaker) sehingga perdana menteri baharu dilantik.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, segenap lapisan masyrakat berdukacita terhadap apa yang berlaku memandangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah menampakkan sinarnya.

“PN Perlis dan Badan Perhubungan PAS Negeri menzahirkan ucapan terima kasih kepada perdana menteri atas kejayaan mengemudi bahtera PN dan kepimpinan negara.

“Peletakan jawatan perdana menteri dan seluruh jemaah menteri amat mengejutkan rakyat Malaysia, namun kejayaan demi kejayaan telah tercipta,” ujarnya.

Beliau juga berkata, Muhyiddin berjaya mempamerkan kejujuran, kecekalan dan ketenangan ketika berhadapan dengan krisis pandemik sejak awal mengambil alih pentadbiran negara pada 1 Mac 2020.

“Kami mendoakan agar perdana menteri dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk terus menabur bakti kepada rakyat dan negara.

“Kami juga mendoakan semoga segala khidmat yang dilakukan perdana menteri dan jemaah menteri sebelum ini diterima sebagai amal soleh oleh Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

- Advertisement -