PM baharu: Apa solusi ada dan impian rakyat?

- Advertisement -

Oleh ABI FATHULLAH ABE

HINGGA rencana ini ditulis, penulis dimaklumkan tiada siapa miliki majoriti untuk membentuk persefahaman dan melantik Perdana Menteri baharu.

Namun situasi ketika ini tidak segawat semasa Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan dan menjadi PM interim istilahnya ketika itu dan kini Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin masih menjalankan tugasnya sebagai PM ‘caretaker‘ walaupun sifatnya sama sahaja dengan interim.

Suasana kini lebih damai dan tiada kacau bilau berlaku, hanya provokasi murahan oleh tentera cyber pembangkang yang terus-menerus menjual bahan-bahan sensasi berbentuk fitnah.

- Advertisement -

Dijadualkan ketua-ketua parti menghadap Yang di-Pertuan Agong pada petang ini untuk menyerahkan nama-nama calon PM dan dikhabarkan sehingga kini persefahaman demi persefahaman cuba dibentuk dalam keadaan sukar kerana terlalu banyak fraksi politik yang ‘kurang sehaluan’ dalam membina persefahaman.

Adapun rakyat di luar sana ternanti siapakah PM baharu yang bakal menggantikan Abah.

Sejak semalam lagi, selepas Abah melepaskan jawatan, tidak sunyi dengan ratab hiba rakyat dengan peletakan jawatan Abah, malah bertebaran video merata WhatsApp dan media sosial menyatakan kebaikan Abah.

Benar barang yang hilang jangan dikenang seperti kata P.Ramlee dalam lagunya, tetapi peletakan jawatan Abah mengundang tangis hiba rakyat.

Adapun sekerat dua yang membenci itu kerana mereka terlalu ta’asub kepada dakyah pembangkang yang berkisarkan kepada sumber fitnah semata.

Rakyat tertanya apakah solusi yang ada hari ini? Penulis juga dihujani pertanyaan sejak semalam oleh rakan-rakan siapa PM dan bagaimana prosesnya selepas ini?

Antara pertanyaan dan luahan rakan-rakan penulis apa solusi yang ada hari ini selepas sebuah kerajaan yang sedang fokus sepenuhnya mengatasi pandemik Covid-19 tergendala akibat permainan kotor kelompok rakus kuasa?

Lebih membuatkan rakyat teruja apabila Abah dalam peruntusan peletakan jawatan semalam dengan tegas menyebut bahawa beliau boleh sahaja kekal menjadi PM jika korbankan prinsip, namun beliau lebih rela melepaskan jawatan untuk tidak bersetuju dengan kelompok kleptokrat.

Hujah ini menggambarkan kekuatan sebenar Abah dalam mendepani arus politik massa semasa beliau menerajui kerajaan khasnya selepas Oktober tahun lalu beliau mula diserang oleh pihak yang berada dalam kerajaan sendiri.

Ketika ini pilihan yang ada hanyalah

1 – Jika PN dan Kumpulan yang bersama persefahaman ini mampu memiliki majoriti sokongan maka akan ada PM yang dicadangkan oleh parti-parti dari persefahaman ini diangkat sebagai PM baharu.

2 – Andai Pakatan Harapan yang diketuai Anwar Ibrahim mampu mendapatkan sokongan Tun Dr Mahathir dalam Pejuang, Warisan melalui Dato’ Seri Shafie Apdal, dan Bebas yang lain maka beliau boleh sahaja membentuk semula kerajaan PH yang tersungkur pada Februari tahun lalu. (Pun begitu apakah Tun Mahathir merelakan? Atau sekali lagi akan menghalang hasrat Anwar menerajui kerajaan).

3 – Jika Umno dan persefahaman jajaran baharu mampu mendapatkan sokongan, dan membentuk satu koalisi baharu maka calon PM dalam kalangan mereka boleh sahaja diangkat. (Tetapi amat sukar kerana katanya ramai tidak boleh menerima apa yang dibuat oleh Presiden Umno sejak sebelum ini).

4 – Apakah kerajaan ini akan kekal dengan seorang PM bersifat caretaker dalam jangkamasa tertentu sehingga seorang PM baharu dilantik atau sehingga negara mencapai ‘herd immunity‘ bagi membolehkan pembubaran Parlimen dibuat (memandangkan tiada pihak miliki majoriti).

Namun dalam kesemua pilihan yang ada ini sebenarnya rakyat rata-ratanya amat mengharapkan kerajaan PN yang cemerlang mendepani pandemik Covid-19 dan dalam urusan kebajikan rakyat dapat diteruskan semula walaupun mungkin kemudi (PM) bertukar tangan kepada calon lain.

Sehinggakan ada rakyat yang sebut, kerajaan PN ini kerajaan terbaik yang pernah ada, namun digagalkan penerusannya oleh kelompok yang tamak kuasa dan mahu mengatasi Undang-undang dalam mendepani kes-kes yang dihadapi.

Rakyat sedang berduka kerana kejatuhan ini, tatkala sinar di hujung terowong dari usaha kerajaan PN mengatasi pandemik Covid-19 dengan programs vaksinasi mula mencapai kejayaan.

Namun rakyat amat mengharapkan keajaiban untuk PN kembali menerajui walau peneraju berubah yang lain. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

- Advertisement -