Pastikan persekitaran pantai Terengganu mesra penyu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pendaratan penyu ke pantai Batu Buruk di sini malam tadi ‘memberi mesej’ bahawa haiwan itu telah bersedia untuk bertelur di sepanjang 244 kilometer jajaran pantai dari Kemaman ke Besut selain pantai di pulau-pulau peranginan yang sering menjadi lokasi pilihan popular sebelum ini.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu Dr Mohd Uzair Rusli berkata penyu amat sensitif dan berhati-hati dalam memilih lokasi pendaratan untuk bertelur.

“Pembangunan pesat dan lokasi pantai Batu Buruk yang berdekatan bandar menyebabkan lokasi ini tidak begitu popular bagi pendaratan penyu sebelum ini.

- Advertisement -

“Sebenarnya, penyu yang mahu bertelur akan mula mencari pantai seawal 3 petang lagi. Jadi gangguan di pantai waktu petang akan menjejaskan pendaratan penyu pada awal malam. Kehadirannya malam tadi mungkin kerana aktiviti orang awam telah berkurangan dan tiada gangguan kepada penyu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sudah tiba masanya untuk semua pihak berganding bahu menyediakan jajaran pantai di Terengganu sebagai persekitaran yang mesra penyu.

“Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian jika kita mahu melihat penyu naik bertelur di pantai-pantai berdekatan antaranya dengan mengurangkan pencahayaan ke arah pantai.

“Penyu amat sensitif dengan lampu. Jangan letak lampu pada kedudukan yang tinggi dan pastikan lampu tidak boleh dilihat dari sebelah pantai. Pencahayaan berwarna merah amat digalakkan kerana penyu kurang sensitif dengan gelombang cahaya tersebut,” katanya yang berharap pengurusan hotel, resort dan chalet serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah dapat bekerjasama dalam perkara tersebut.

Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti riadah dan tidak membuat unggun api di tepi pantai pada sebelah malam.

PBT boleh menaikkan papan tanda peringatan kepada orang awam untuk mendidik mereka di pantai-pantai terpilih. Sokongan kewangan daripada badan korporat juga boleh membantu PBT menaikkan papan tanda dengan lebih banyak.

“Kita juga perlu menggiatkan penanaman pokok merambong di sekitar kawasan pantai kerana pokok ini renek dan banyak laporan yang membuktikan penyu lebih suka bertelur di bawah pokok ini kerana lebih tertutup daripada gangguan. Jadi, walaupun pantai kita bising dan bercahaya terang, pokok merambong boleh membantu memberi keselesaan kepada penyu untuk terus bertelur,” katanya.

Seekor penyu agar dilaporkan mendarat di pantai Batu Buruk berdekatan Hotel Primula sekitar 7 malam tadi dan berjaya menghasilkan sebanyak 50 biji telur.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat berkata berat dan saiz penyu tidak dapat ditentukan memandangkan ibu penyu itu telah turun ke laut semasa pegawai tiba di lokasi.

Namun, penyu itu dianggarkan berusia 15 hingga 18 tahun berdasarkan saiz trek dan jumlah telur yang dihasilkan. Kesemua telur penyu itu dibawa ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang untuk tujuan pengeraman.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak mengganggu penyu semasa ia dalam perjalanan naik ke darat, semasa di darat atau turun semula ke laut. Perbuatan ini boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Penyu 1951 (pindaan 1987) yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -