Kerajaan PN telah berkhidmat penuh tanggungjawab

- Advertisement -

SEGALA puji bagi Allah, Rabb yang memelihara sekalian alam dan selawat ke atas Baginda Rasulullah S.A.W. Berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-8 YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, PAS Pahang melahirkan rasa begitu dukacita di atas peletakan jawatan tersebut.

PAS Pahang mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di atas khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh beliau menjadi Perdana Menteri yang begitu cekal dan tenang dalam menghadapi krisis pandemik, ekomomi dan tekanan politik.

- Advertisement -

Kami mendoakan agar YAB Tan Sri terus dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk terus berada di persada politik tanah air bagi menabur khidmat bakti kepada rakyat Malaysia yang masih memerlukan curahan khidmat bakti YAB Tan Sri. Semoga YAB Tan Sri dikurniakan kekuatan, petunjuk dan rahmat dari Allah S.W.T.

Kesempatan ini juga PAS Pahang mengucapkan terima kasih kepada semua Menteri Kabinet yang telah berkhidmat khususnya Menteri dan Timbalan Menteri dari PAS yang telah berkhidmat dengan baik dan penuh tanggungjawab.

Tiada apapun yang kekal di atas dunia melainkan sementara, harta, jawatan dan darjah kebesaran pasti akan ditinggalkan, apa yang kekal hanyalah amalan yang diiringi dengan niat yang ikhlas sahaja, semoga khidmat bakti kepada negara dan rakyat menjadi amal soleh di akhirat nanti.

PAS Pahang akan terus menghayati slogan ‘Menang Bersama’ dan ‘Malaysia Prihatin’ untuk memelihara kestabilan hubungan antara parti-parti dalam PN bagi mendepani cabaran PRU15 untuk pastikan Malaysia tidak jatuh ke tangan mereka yang akan merosakkan negara yang kita cintai ini.

Fitrah dan naluri manusia normal sentiasa inginkan sesuatu yang lebih baik, semoga Allah gantikan kebaikan yang berlalu dengan suatu yang lebih baik.

Terima kasih YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, terima kasih kepada semua Menteri Kabinet dan terima kasih serta tahniah kepada semua Menteri dan Timbalan Menteri dari PAS, moga apa yang kita telah usahakan menjadi saksi kebaikan di akhirat kelak, Insya-Allah. Terima kasih dari kami.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang – HARAKAHDAILY 17/8/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100003457375722/posts/3317427855049094/

- Advertisement -