Muhyiddin letak jawatan dapat liputan meluas media di Singapura, Thailand

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

SINGAPURA: Berita peletakan jawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya hari ini turut mendapat liputan meluas media di Singapura dan Thailand, selepas kerajaan gabungan itu kehilangan sokongan majoriti.

Di Singapura, rancangan bual bicara The Straits Times SingapuraThe Big Story – memilih berita berkenaan dan juga perkembangan terkini di Afghanistan.

- Advertisement -

The Big Story yang disiarkan pada 5.30 petang di Facebook dan YouTube hari ini, dikendalikan oleh wartawan multimedia Hairianto Diman dan turut menyiarkan sebahagian ucapan Muhyiddin.

Sementara itu ketua biro berita Malaysia, The Starits Time Singapura, Shannon Teoh turut melaporkan berita bertajuk “Malaysia’s Muhyiddin to stay on as caretaker PM until successor is appointed”. (https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/malaysias-muhyiddin-to-stay-on-as-caretaker-pm-after-king-accepts-resignation).

Ketika berita ini ditulis, laporan tersebut masih kekal dalam senarai ‘Berita Utama’ di bawah sub topik Asia.

CNA pula melaporkan komentar Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi Tricia Yeoh, bertajuk “PM Muhyiddin Yassin’s resignation signals UMNO’s back in driver’s seat.”

Turut disiarkan berita bertajuk “Muhyiddin Yassin appointed Malaysian caretaker PM after resignation is accepted by the king”. (https://www.channelnewsasia.com/commentary/muhyiddin-resign-prime-minister-what-next-caretaker-2115856)

Sementara itu, di Thailand berita mengenai Muhyiddin dijangka meletak jawatan telah tersebar di portal berita dan media sosial sejak Ahad.

Pada hari ini, portal berita Thai PBS, Thai Rath, Matichon Online, Post Today, Thai Posts, Prachachat  melaporkan perkembangan terkini sebaik Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya.

Berita itu turut mendapat liputan portal berita Inggeris seperti Bangkok Post, The Nation dan Thai PBS. Foto dan video Muhyiddin beredar meninggalkan Istana Negara banyak digunakan media tempatan di sini.

Muhyiddin menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin semasa menghadap Seri Paduka di Istana Negara, tengah hari tadi.

Beliau, yang juga Presiden Bersatu, mengangkat sumpah Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 24 Feb tahun sama. – BERNAMA

- Advertisement -