Kerajaan bertindak tepat tangani penularan Covid-19

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Parti pembangkang yang mendakwa kerajaan gagal dalam konteks pengurusan pandemik Covid-19, sebenarnya mereka tidak mampu bersatu untuk memainkan peranan.

Pengurusan pandemik Covid-19 adalah antara isu yang sering dimainkan pembangkang untuk memburukkan imej kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

Bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan bahawa kerajaan bertindak tepat menangani penularan wabak Covid-19 dengan keadaan di Lembah Klang, mula menunjukkan sinar kemenangan sejak beberapa minggu lalu apabila jumlah kemasukan pesakit baharu mencatatkan penurunan.

Pakar anestesiologi dan rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Noorulhana Sukarnakadi Hadzarami, berkata jumlah pesakit warga emas mula mencatat penurunan sejak bulan lalu.

Katanya, jumlah kemasukan pesakit tempatan di hospital Lembah Klang pula mula mencatat penurunan bermula minggu lalu, dengan kebanyakan pesakit baharu ketika ini adalah dalam kalangan warga asing.

Meskipun jumlah kes harian di Lembah Klang masih tinggi dan kemenangan masih samar, Dr Noorulhana Sukarnakadi, menyifatkan penurunan kes itu sebagai titik cahaya di hujung terowong yang memberi harapan bahawa kejayaan mengawal pandemik itu semakin hampir.

Perkembangan positif di Lembah Klang banyak disumbangkan oleh kejayaan pemberian vaksin di negara ini yang berjaya mengatasi Australia, Jepun dan Korea Selatan pada akhir Julai lalu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata ini sekali gus menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia dari segi kadar vaksinasi harian per kapita sepanjang tempoh bulan lalu.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, PICK mencatat kemajuan memberangsangkan sepanjang Julai lalu dengan kadar purata harian pemberian vaksin mencecah hampir 400,000 dos, iaitu melepasi sasaran awal 300,000 suntikan sehari.

“Pada awal bulan lalu, negara kita sedikit terkebelakang berbanding Australia, Jepun dan Korea Selatan tetapi dengan kadar vaksinasi harian yang direkodkan hingga melebihi 500,000, kita berupaya mengakhiri Julai dengan lebih ke hadapan berbanding negara terbabit,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -