Sejarah awal Kapitalisme dari dua kerangka

- Advertisement -

PENDAHULUAN

Kapitalisme mempunyai sejarahnya yang panjang. Berasal daripada sebuah cara perdagangan, seterusnya menjadi satu gesaan agama, kemudian diteorikan, dan berakhir dengan penguasaan. Kalau diikutkan sejarahnya, dalam sejarah perdagangan, boleh dikatakan wujudnya pengamalan-pengalaman Kapitalisme dari sudut kesungguhan untuk bekerja. 

- Advertisement -

Kita perlu faham bahawa Kapitalisme ini di awal kemunculannya pada era 15 merupakan galakan-galakan untuk meningkatkan keupayaan diri, galakan untuk berniaga, dan memberi kebebasan untuk menjadi kaya dan berharta. 

Perkara ini boleh difahami dengan memahami 2 blok pemikiran.

1. Kerangka Islam yang mendominasi dunia Timur.

2. Kerangka Kristian yang mendominasi dunia Barat.

Pertama: Kerangka Islam

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W bermula di Makkah. Masyarakat Arab sudah terbiasa dengan dunia perdagangan. Cuma, konsep perdagangan yang diamalkan oleh mereka bersifat menindas dengan wujudnya beberapa konsep seperti الحمى (monopoli tanah) dan تلقى الركبان (monopoli dagangan). Konsep-konsep yang menindas ini diharamkan oleh Nabi S.A.W.

Begitu jugalah di Madinah ketika itu adanya konsep riba yang turut diharamkan oleh Baginda S.A.W. Pendekatan yang dibawa oleh Islam bukanlah mengharamkan perdagangan, akan tetapi membetulkan sistem perdagangan agar tidak ada unsur-unsur penindasan.

Bahkan, kita sedia maklum bahawa Nabi S.A.W sendiri bekerja sebagai pedagang barang Saidatina Khadijah R.A. Dalam masa yang sama, Islam juga menggalakkan jual beli, dan meningkatkan keupayaan diri sendiri untuk survival dalam dunia perdagangan atau perniagaan.

Maka, ada dari kalangan orang Islam yang menjadi kaya, seperti Saidina Uthman, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi. Perkara ini tidaklah menjadi satu larangan, bahkan ia merupakan salah satu sunnah yang digalakkan.

Dari sudut kajian perkembangan ideologi, dunia Falsafah Islam yang boleh dikatakan bermula awal zaman Abbasiah, rata-rata mereka agak terkesan dengan pemikiran Aristotle. Ini menyebabkan mereka berusaha untuk mengembangkan kajian demi kajian untuk membuat hasilan-hasilan.

Kemudian sejak bermula zaman Imam al-Ghazali yang sezaman dengan Ibn Rusyd, Falsafah Islam mula teralih kutub pemikiran mereka daripada Aristotle kepada Plato. Pemikiran Plato banyak dibawa oleh Imam al-Ghazali. Secara tak langsung, perkembangan pemikiran agak menyusut sedikit berbanding sebelumnya.

Kedua: Kerangka Barat

Kemunculan Islam ketika kenabian Nabi Muhammad S.A.W merupakan zaman kegelapan dunia Barat yang didominasi oleh kuasa gereja (Kristian). Di zaman tersebut, pemikiran Barat berkutubkan dengan pemikiran Plato seperti Neo-Platonisme. Hal ini menyebabkan cara berfikir mereka agak mundur.

Dari sudut dunia perdagangan, Barat yang didominasi kuasa gereja ketika itu mengharamkan seseorang itu untuk berdagang. Ini kerana mereka menganggap pedagang itu sama seperti mencuri disebabkan kepercayaan karut mereka.

Dalam kepercayaan karut masyarakat Yunani Kuno, menganggap bahawa dewa kaum pedagang bernama Hermes, yang merupakan dewa kaum pencuri. Bahkan, ajaran gereja yang memusuhi usaha usaha mencari kekayaan material dianggap sebagai pemujaan terhadap Dewa Mammon.

Dalam masa yang sama, gereja di zaman pertengahan itu mengamalkan sistem ekonomi berteraskan Feudalisme yang menyebabkan berlakunya jurang kasta yang besar. Golongan bangsawan yang terdiri daripada orang gereja dan para pembesar, dan rakyat biasa. 

Walaupun tidak dinafikan, sistem Feudalisme itu ada baiknya dari sudut situasi perang dan peluasan empayar, namun dari sudut jurang kasta itu agak sukar diterima. Akibat kekangan ini, menyebabkan rakyat biasa tidak dapat untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Gejala kemiskinan dan kebuluran berleluasa atas nama agama. Kongkongan ini berterusan sehinggalah wujudnya asimilasi antara ketimuran dan kebaratan. Iaitu apabila Tamadun Islam berkembang sehingga ke Andalus, orang-orang Barat mula menjadi semakin celik.

Daripada kegelapan dunia gereja yang mengalir dari Neo-Platonisme, mereka mula mencari cahaya-cahaya yang dibawa oleh ahli Falsafah Ibn Rusyd. Ibnu Rusyd agak berbeza dengan Imam al-Ghazali, kerana kutub pemikiran Ibnu Rusyd lebih cenderung kepada Aristotle, manakala kecenderungan kutub Imam al-Ghazali kepada Plato.

Ketika itu Islam sudah merantau ke seluruh dunia untuk menyebarkan dakwah melalui jalan perdagangan. Umat Islam sejak awal bukan sahaja diberi kebebasan untuk berniaga asalkan tidak menindas orang, bahkan masing-masing diberi ruang dan peluang untuk meningkatkan hidup sendiri.

Kebebasan yang dinikmati oleh Umat Islam yang cenderung kepada pemikiran Aristotle ini akhirnya terserap masuk dalam dunia Barat. Manakala dunia Islam pula tercenderung kepada pemikiran Plato. Ia boleh dibayangkan dengan berlakunya persilangan antara dua kutub.

Dunia Barat selepas melalui peralihan kutub ke pemikiran Aristotle, ilmu Falsafah dan pemikiran-pemikiran diajar di gereja-gereja dalam Fasa Skolastik (selepas zaman pertengahan), sehinggalah akhirnya mencetuskan bibit-bibit kebangkitan demi kenangkitan.

Kebangkitan yang dimaksudkan antaranya gerakan yang dicetuskan oleh Martin Luhter untuk membaiki semula Kristian sedia ada. Protes terhadap Kristian Katholik ini melahirkan Kristian Protestan. Max Weber dalam karyanya The Protestan Ethic of Spirit Capitalism, menyatakan bahwa kemunculan Kapitalisme sangat berkait dengan semangat keagamaan, khususnya penganut Protestan. 

Protestan menggesa agar masyarakat Barat dibenarkan untuk meningkatkan kualiti hidup masing-masing, diberi kebebasan untuk berniaga dan berdagang, diberi peluang untuk berusaha sehingga kaya, dan banyak lagi. Sehinggalah berkembang institusi pasar (market) pada abad ke-16 dan diteruskan dengan perkembangan perdagangan jarak jauh.

Disebabkan kongkongan sistem ekonomi Feudalisme yang dahsyat, lahirlah gelombang membebaskan diri daripada sistem itu. Gelombang ini lebih terarah kepada kebebasan dalam berniaga, bebas berdagang dan meningkatkan kualiti hidup, tiada kongkongan kerajaan dan sebagainya.

Selain Luther, Benjamin Franklin pun juga menguatkan pendapat Weber dengan motonya yang sangat masyhur, iaitu ‘Time is Money’ bahawa ‘human life’ perlu bekerja mati-matian untuk menyemaikan harta kekayaan.

Kesimpulan

Kedua-dua kerangka ini menunjukkan mengenai;

1. Fasa awal Kapitalisme itu bukanlah sepertimana yang ditakrifkan pada hari ini. Fasal awal, ia lebih dikenali dengan dunia perdagangan.

Fasa awal ini dikenali sebagai dominasi modal perdagangan ke atas modal industri. Ia berbeza dengan Fasa Kedua Kapitalisme (yang akan diceritakan dalam artikel lain – insya-Allah) yang dikenali sebagai dominasi modal industri ke atas modal perdagangan.

2. Peralihan kutub pemikiran antara Aristotle dan Plato, di antara dunia Islam dan dunia Barat. Peralihan ini menyebabkan berlakunya persilangan unsur perkembangan dan pengenduran Tamadun Islam, dan Tamadun Barat.

i. Tamadun Islam: Bermula dengan pemikiran Aristotle, umat Islam mengembangkan kajian-kajian. Kemudian, bertukar kepada pemikiran Plato, menyebabkan berlakunya pengenduran.

ii. Tamadun Barat: Bermula dengan pemikiran Plato, orang Barat berada dalam kegelapan (Dark Ages). Kemudian bertukar kepada pemikiran Aristotle, menjadikan mereka mencetuskan dan mengembangkan kajian-kajian.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 15/8/2021