PM merayu segerakan ambil vaksin

Tan Sri Muhyiddin ketika menjawab pertanyaan rakan media mengenai perkembangan lawatannya ke Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketika negara sedang berdepan dengan peningkatan kes Covid-19, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu, kepada segelintir rakyat di negara ini yang masih belum berdaftar segera membuat janji temu bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, rakyat Malaysia perlu menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi mencapai ‘herd immunity’ sebanyak 80 peratus dari seramai 20 juta orang yang layak divaksinkan.

Namun, kata beliau masih terdapat yang berbaki belum berdaftar sebagai menerima vaksin kerana berpenyakit atau dari kumpulan rakyat antivaksin yang enggan mengambil suntikan tersebut.

“Saya hendak ambil kesempatan di sini untuk merayu dan ada yang berbaki yang tidak (belum) lagi bersedia, patutnya mereka bersedialah. Apabila seluruh dunia manusia sudah ambil vaksin. Kalau di Malaysia ini, 20 juta (orang) dan terbukti bila vaksin telah diberi maka, kehidupan rakyat akan lebih terjamin.

“Kalau pun kena jangkitan tertentu (sebagaimana) yang diberitahu doktor, dia (mangsa) tidak begitu merbahaya. Dia boleh pulih cepat, pasal telah ada pendinding atau pun ‘antibodi’ dalam badan. Kalau tidak ada vaksin, tak terjaga.

“Sebab itulah, kita nak (hendak) minta supaya Malaysia ini dalam tempoh bulan Oktober, kita jangka hampir mencecah ‘herd immunity’ 80 peratus daripada yang patut dapat vaksin telah divaksinkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Lawatan Kerja Melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.

Sehubungan itu, kata Tan Sri Muhyiddin laporan yang dibentang menunjukkan berlakunya peningkatan rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Terima kasih kepada semua frontliner. Saya tahu telah bekerja keras sejak pusat (PPV) ini dibuka, dan laporan yang dibentangkan kepada saya tadi semakin meningkat (orang) yang datang menerima suntikan (vaksin), ada yang dua dan ada yang satu (dos).

“Tadi dalam perbincangan (Terengganu) mahu tingkatkan bekalan vaksin. Dato’ MB (Menteri Besar) Dr Ahmad Samsuri sokong kuat. Ikut rekodnya, kita akan bekalkan 590,000 dos vaksin lagi bulan (Ogos) ini, nanti kita akan sampaikan,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan mensasarkan pencapaian 80 peratus ‘Herd Immunity’ pada bulan Oktober ini melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan.

“Ini suatu pencapaian yang tidak jauh daripada peratusan pencapaian di peringkat nasional. Apa yang penting sekarang ini, supaya dipastikan sesiapa yang belum lagi mendaftar disegerakan.

“Mengikut laporan yang dibentangkan kepada saya, jawatankuasa (PICK) ini yang dipimpin oleh YB KJ (Khairy Jamaluddin) dan Dato’ Sri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan), kemungkinan bila sebahagian besar telah ada berbaki yang mungkin tidak mahu disuntik.

“Jadi, kita nak memikirkan apa langkah kita nak buat supaya mereka ini juga tampil kedepan untuk mendapatkan suntikan. Katakanlah 10 peratus, kita akan memantau situasi itu.

“Kalau sebab dia ada penyakit, maka itu dia tak berani nak ambil vaksin tentu ada sebabnya. Tapi, kalau dia tidak ambil (vaksin) dan kebimbangan kita kalau dengan sebab terkesan kerana tidak mengambil vaksin.

“Maka, kemungkinan dialah yang menjadi sasaran, yang akhirnya menyebabkan pihak yang sudah disuntik pun akan terkena, lebih-lebih lagi dengan ‘varian’ baharu Delta dan sebagainya akan membawa suatu masalah kepada negara,” tegasnya.

Justeru, katanya kerajaan membuat pertimbangan sama ada hendak mewajibkan pengambilan vaksin secara ‘mandatori’ atau macam mana itu sedang diteliti dan akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

“Kita hendak kaji, teliti dan dapatkan sedikit kajian. Adakah sebahagian besar itu ada berpenyakit dan takut hendak ambil vaksin, atau sengaja tak ambil vaksin kerana tak percaya atau yang dikatakan kumpulan antivaksin.

“Jika kecil tidak membimbangkan tepi jika besar, kita perlu cari jalan sama ada hendak gunakan peruntukan sedia ada dengan mengambil tindakan undang-undang atau macam mana,” ujarnya.

Hadir sama mengiringi Tan Sri Muhyiddin iaitu Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ahmad Amzad Hashim.

Mengikut rekod 12 Ogos, jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 1,342,215 juta rakyat telah dijangkiti dengan 21,688 kes baharu, 318 kes meninggal dunia dengan jumlah kematiannya mencecah 11,691 kes seluruh negara.

Manakala, kejayaan PICK setakat ini seramai 16.3 juta orang telah menerima suntikan vaksin dos pertama, 9.5 juta bagi dos kedua dan jumlah keseluruhan penerima kedua-dua dos itu sebanyak 25,863,563 juta. – HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -