QIAM sokong penuh titah Agong, Raja-raja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM) menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan beberapa Raja-raja Melayu yang telah membuat tiga amanat utama kepada pemimpin-pemimpin negara melalui Titah Ucapan Maal Hijrah 1443 agar mereka segera menghentikan sengketa, jangan berebut kuasa dan bersatu.

Presiden QIAM, Dato’ Sirajuddin Salleh berkata, tidak ada saranan yang lebih jelas dan besar daripada tiga perkara sebagaimana titah Agong dan Raja-raja tersebut ketika negara dan dunia ketika ini sedang berperang dengan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Lebih sejuta rakyat Malaysia telah dijangkiti Covid-19 dan lebih 11,000 orang meninggal dunia. Malangnya, puak pembangkang yang kami kira sudah hilang sifat kemanusiaan mereka, asyik menyerang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan serta menuntut supaya berundur.

“Mereka tidak habis-habis menuntut supaya sidang Parlimen diadakan segera dengan harapan mereka berpeluang untuk usulkan undi tidak percaya agar Kerajaan tumbang dan mereka dapat ambil alih kuasa,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ketika Parlimen bersidang pada 26 Julai 2021, pembangkang  bukan mengemukakan cadangan yang bernas bagi mengatasi pandemik Covid-19 di negara ini.

“Apabila Parlimen ditangguhkan kerana ada dalam kalangan ahli Parlimen telah dijangkiti Covid-19 pun mereka masih tidak percaya. Kerajaan telah mengesahkan seorang pegawai Parlimen telah meninggal dunia pada sidang Parlimen tersebut di samping ramai lagi yang dijangkiti Covid-19. Apakah masih tidak percaya?

“Agaknya jika ada dalam kalangan pembangkang yang meninggal dunia, barulah mereka percaya,” katanya.

Tambah Sirajuddin, pembangkang menambahkan lagi kekalutan apabila turut mengadakan demonstrasi jalanan.

“Apakah tujuan mereka agar media luar negara melaporkan Malaysia dalam keadaan huru-hara? Pelabur asing menjadi takut untuk melabur di sini.

“Bagaimana dapat dipulihkan ekonomi negara jika inilah perbuatan mereka? Perbuatan khianat ini tidak harus dimaafkan. Apakah laungan perpaduan selama ini hanya untuk rakyat jelata sahaja?” tegasnya.

Menurutnya lagi, keadaan menjadi lebih dahsyat apabila pada 3 Ogos lalu, Presiden Umno mengumumkan parti itu menarik sokongan terhadap Kerajaan.

“Sekumpulan ahli Parlimen Umno juga turut menarik sokongan mereka terhadap Kerajaan. Apakah mereka ingin berpakat dengan DAP dan PKR untuk membentuk Kerajaan baharu? Apakah mereka lupa siapa itu DAP setelah melihat 22 bulan DAP memerintah dalam Kerajaan PH?

“Butakah mata hati mereka? Apakah mereka juga lupa siapa itu Pemimpin PKR? Bukankah Perhimpunan Agung Umno sudah buat resolusi “No DAP, NO Anwar!” tegasnya.

Sirajuddin berkata, QIAM menyifatkan tindakan Presiden Umno dan kumpulan yang menarik sokongan terhadap Kerajaan itu sebagai pengkhianat bangsa dan berharap ahli Umno dan rakyat keseluruhannya jangan sesekali memberi undi kepada golongan pengkhianat bangsa tersebut dalam mana-mana pilihan raya.

“Kini, keputusan telah dibuat bahawa usul undi percaya akan dibentangkan pada sidang Parlimen September ini.

Adakah kerana ketegasan Perdana Menteri tidak mahu campurtangan dengan urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa menyebabkan mereka beria-ia hendak jatuhkan Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

“Apakah mereka sanggup merosakkan sistem kehakiman negara dengan memberikan gambaran bahawa ia boleh dimanipulasi oleh pihak luar?” katanya.

Justeru menurut Sirajuddin, QIAM sekali gus membantah sekeras-kerasnya sebarang campur tangan luar dalam sistem kehakiman negara.

“Jangan sampai rakyat mengatakan undang-undang dan kehakiman negara hanya termaktub untuk rakyat jelata sahaja sedangkan golongan  kayangan sebaliknya bebas dari tindakan mahkamah.

“Pada kesempatan ini juga, QIAM ingin bertanya, siapakah yang mereka mahu jadikan Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin? Adakah mereka sudah ada calon atau tokoh yang layak dan berkaliber?” ujarnya.

Katanya lagi, jika Perdana Menteri baharu dilantik, apakah masalah Covid-19 ini boleh segera dihapuskan sekelip mata?

“Apakah pembangkang buta mata hati untuk melihat bahawa negara-negara di dunia termasuk negara besar sekali pun masih bergelut memerangi wabak Covid-19?” tegasnya.

Sehubungan itu, QIAM menyeru Presiden Umno dan kumpulan ahli Umno yang menarik sokongan terhadap Kerajaan agar kembali semula ke pangkal jalan.

“Batalkanlah usul undi percaya terhadap Perdana Menteri. QIAM juga menyeru Tun Mahathir Mohamad sebagai negarawan ulung tanah air untuk membimbing dan membawa pemimpin-pemimpin Umno, PAS dan Bersatu supaya berbaik semula bagi membentuk tulang belakang yang kuat sebagai Kerajaan negara ini.

“Janganlah biarkan negara yang Tun bina selama ini jatuh ke tangan DAP. Ingatlah titah tiga amanat Agong dan Raja-raja Melayu sempena Maal Hijrah 1443 agar ‘Hentikan Sengketa, Jangan Berebut Kuasa dan Bersatulah’,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2021