Oleh NOR HAZWANI NOH
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pihak yang cuba menganjurkan atau menyertai himpunan haram #Lawan pada 21 Ogos nanti.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata perhimpunan pada masa pandemik akan memberi kesan besar kepada kemudharatan jangkitan wabak merbahaya varian delta Covid-19 yang membawa risiko nyawa rakyat.
“Perbuatan berhimpun secara beramai-ramai sangat tidak bertanggungjawab dan melampau serta melanggar undang-undang negara.
“Berhimpun boleh tapi biarlah kena pada masanya,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.
Pada 7 Ogos, PDRM memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur atau peserta yang merancang untuk mengadakan perhimpunan jalanan pada 21 Ogos ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengambil maklum terdapat pihak yang merancang akan mengadakan perhimpunan berkenaan.
Menurut beliau, perancangan aktiviti berkenaan adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Tambah Mohd Zai, dalam masa PKP dan perlaksanaan SOP PPN yang sedang dilaksanakan, perbuatan sedemikian sangat jelas cuba melanggar dan mencabar undang-undang negara.
“Kita masih lagi berjuang untuk memutuskan rantaian Covid-19 dan semua pihak sepatutnya bekerjasama membantu KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).
“UMMAH berharap tindakan tegas dan pantas daripada PDRM segera dilaksanakan bagi menghalang himpunan diatas,” katanya.
Tambah beliau, UMMAH juga akan membuat laporan polis bagi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dengan tegas dan sebaiknya.
Dalam perkembangan sama, UMMAH turut menyeru semua pihak sama ada NGO mahupun individu untuk membuat laporan polis terhadap demonstrasi haram itu.
Pihaknya akan membuat laporan polis di setiap negeri bagi membantah demonstrasi yang dianggap tidak mematuhi SOP dan keadaan semasa negara yang sedang menghadapi pandemik Covid-19.
Setakat hari ini, UMMAH Perak dan UMMAH Wilayah Persekutuan telah melakukan laporan pemula di ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berdekatan.
Manakala UMMAH di peringkat pusat dan negeri-negeri lain akan turut menyusul membuat laporan. – HARAKAHDAILY 11/8/2021