Polis Kedah terima dron, pendingin hawa dari kerajaan negeri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Polis Kedah menerima empat set dron dan 20 pendingin hawa mudah alih daripada Kerajaan Negeri bagi memudahkan penugasan dan meningkatkan keselesaan pasukan keselamatan itu dalam tempoh pandemik COVID-19.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya sangat menghargai sumbangan itu kerana penggunaan dron dapat membantu polis untuk membuat pemantauan di udara, terutamanya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

- Advertisement -

“Setakat ini, dron digunakan bagi memantau PKPD seperti di Bukit Malut di Langkawi dan tapak pembinaan Hospital Pendang serta Op Bantu di daerah Yan dan Kulim. Ia juga dapat membantu polis mengesan penjenayah melalui udara,” katanya selepas majlis penyerahan peralatan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Majlis penyerahan kesemua peralatan yang bernilai RM50,000 itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Kamarul Zaman berkata pendingin hawa mudah alih itu akan diletakkan di beberapa khemah sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Kedah.

Beliau berkata polis Kedah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian itu dan berharap semua anggota dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. – BERNAMA

- Advertisement -