Pemandu lori, isteri ditahan polis kaitan kes dadah

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

PASIR MAS:
Pasangan suami isteri ditahan polis dipercayai memiliki dadah jenis heroin base dan pil kuda bernilai lebih RM2.09 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, di sini, Ahad lalu.

Hasil serbuan itu polis menemui dadah jenis heroin base seberat 13.295 kilogram (kg) bernilai lebih RM1.2 juta serta 86,000 biji pil kuda berjumlah RM860,000.

- Advertisement -

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, pada 8 Ogos jam 1.20 tengah hari pihaknya menahan seorang lelaki Melayu berusia 27 tahun dan membawa kepada penemuan seorang warga asing perempuan berusia 23 tahun yang dipercayai isteri kepada suspek berkenaan.

Katanya, tangkapan itu merupakan hasil kerjasama anggota dari Bukit Aman serta Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Bagaiamnapun kata beliau, suspek yang juga pemandu lori dipercayai mempunyai hubung kait dengan sindikit pengedaran dadah yang berjaya ditumpaskan sebelum ini.

“Kedua-dua mereka yang ditahan itu bagaimanapun masing-masing mempunyai rekod lampau.

“Pihak polis juga telah menyita sebuah kereta jenis Proton Satria dan sebuah motosikal jenis Ego Avantiz dengan nilai keseluruahan sitaan ini sebanyak RM14,000,” katanya pada sidang media di IPD Pasir Mas, di sini, hari ini

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir.

Shafien juga berkata, kesemua bekalan barangan terlarang itu dijangka mampu dibekalkan kepada 43,000 penagih bagi pil kuda, manakala dadah jenis heroin base boleh menampung 810,000 penagih. – HARAKAHDAILY 11/8/2021

- Advertisement -