Kuasa datang bersama mesej Islam yang jelas

- Advertisement -

NABI S.A.W menunjukkan kepada kita betapa kuasa sebagai pemimpin yang Baginda ada selepas berhijrah ke Madinah tersebut telah mencetuskan fenomena baru terhadap perkembangan Islam.

Baginda tidak menggunakan kuasa untuk tujuan mendapat kemegahan, tetapi Baginda meneruskan agenda penyebaran Islam sehingga penyebaran Islam dapat berlaku dengan pesat.

Dalam pada itu, kita juga harus faham bahawa kuasa itu bukanlah matlamat utama Baginda dalam melakukan Hijrah. Kuasa itu datang dengan mesej Islam yang jelas. Ia seakan memberi gambaran kepada kita bahawa kuasa semata-mata tanpa agama akan membawa kepada kehancuran.

- Advertisement -

Apa yang ditunjukkan oleh Baginda adalah memanfaatkan kuasa sebagai pemimpin di Madinah untuk menjamin kepentingan agama. Apa yang dibuat oleh Baginda ini amat dihormati oleh para Sahabat dan tidak dapat ditandingi oleh musuh Islam.

Oleh sebab itu, ada Sarjana Barat yang mengkaji manusia-manusia hebat dalam dunia ini dan mereka meletakkan Nabi S.A.W pada senarai teratas. Ia sepertimana yang dibuat oleh Michael H. Hart dalam bukunya 100 Most Influential People In The World.

Mengambil contoh tauladan Nabi S.A.W, kita boleh melorek formula untuk meredakan krisis politik yang berlaku dalam negara ketika ini.

Kerajaan sedang melakukan yang terbaik bagi menghadapi pandemik COVID-19 yang belum reda. Dalam masa yang sama merangka strategi untuk keluar daripada pandemik ini yang memberi kesan kepada aspek ekonomi rakyat dan negara.

Perkara-perkara baik ini perlu terus dilakukan tanpa menafikan hak rakyat boleh memberi pandangan-pandangan bernas bagi membantu kerajaan. Kita perlu berhati-hati dengan sesetengah golongan yang cuba menghasut dan melakukan perkara yang tidak elok untuk negara. 

Yang kita tidak mahu adalah sikap sentiasa mencari kesalahan dan adakalanya mengkritik berdasarkan maklumat tidak tepat. Yang dikhuatiri lebih kepada menyebar fitnah semata-mata. 

Oleh itu, dalam apa jua krisis, perundingan adalah jalan terbaik dapatkan persetujuan dalam urusan pentadbiran negara. Al-Quran menyebutnya sebagai syura. Sama-sama kita mengambil iktibar

Jangan menyesal di kemudian hari, bila nasi sudah menjadi bubur.

YB DATO’ HAJAH SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – HARAKAHDAILY 11/8/2021

- Advertisement -