HRPZ II tidak kena bayaran kos fasiliti urus jenazah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II menyediakan kemudahan tempat di Jabatan Forensik bagi mengurus jenazah tanpa mengenakan bayaran untuk kos fasiliti dan utiliti.

Bagaimanapun kos pengurusan jenazah adalah tertakluk sepenuhnya kepada persetujuan bersama waris dan pihak pengurus jenazah yang dipilih.

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II Dato’ Dr Selasawati Ghazali berkata, pengurusan jenazah bukan perkhidmatan yang disediakan HRPZ II.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun katanya, terdapat banyak permintaan untuk menyempurnakan jenazah di hospital terbabit.

“Sekiranya pihak waris ingin menyempurnakan jenazah di fasiliti kami, senarai pengurus jenazah yang mendapat kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) ada disediakan.

“Pihak waris juga bebas untuk membawa pengurus jenazah sendiri tanpa tertakluk kepada senarai yang disediakan,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas berita yang disiarkan sebuah stesen penyiaran bertajuk ‘Kos Urus Jenazah Pesakit Covid-19 Melampau, Aniaya Keluarga – NGO’ pada 8 Ogos lepas.

Dr Selasawati juga berkata, MAIK melalui surat bertarikh 8 Jun 2021 mengeluarkan cadangan kadar kos pengurusan jenazah.

Sebaliknya kata beliau pihak hospital khususnya Jabatan Forensik tidak pernah menetapkan sebarang kos pengurusan jenazah.

“Urusan bayaran dan pengeluaran resit adalah di antara pihak pengurus jenazah dengan waris berkenaan tanpa melalui pihak hospital.

“Pihak kami mengalu-alukan keprihatinan dan kesudian mana-mana pihak dalam membantu meringankan beban kos pengurusan jenazah yang perlu ditanggung oleh waris,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2021