Hospital Jempol dijadikan ‘hybrid’ bagi rawatan COVID-19

- Advertisement -

SAYA telah berkesempatan melakukan lawatan kerja ke Hospital Jempol semalam sebaik sahaja selesai menyertai program Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Felda Raja Alias, Jempol, Negeri Sembilan.

Hospital Jempol merupakan sebuah hospital daerah tanpa pakar yang telah mula beroperasi sejak Disember 2005 dengan kapasiti 104 katil wad dan 4 katil ICU. Melalui inisiatif kluster hospital di mana Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah bertindak sebagai ‘lead hospital’, Hospital Jempol sejak 2016 telah mula memberikan secara berperingkat perkhidmatan kepakaran bagi kecemasan dan trauma, perubatan, oftalmologi, ortopedik, pembedahan dan pergigian pediatrik.

- Advertisement -

Susulan daripada peningkatan kes COVID-19 di Negeri Sembilan, mulai 23 Mei 2021 hospital ini telah dijadikan sebagai hospital ‘hybrid’ iaitu merawat pesakit bukan COVID-19 dan pesakit COVID-19. Namun dengan keperluan semasa katil yang mendesak di negeri ini, Hospital Jempol telah dijadikan hospital ‘fully COVID-19’ bermula 7 Jun 2021 dengan 250 buah katil disediakan.

Secara keseluruhan sejak 23 Mei sehingga 9 Ogos 2021, Hospital Jempol telah merawat 1995 pesakit COVID-19 (Kategori 1-5) yang dirujuk dari pelbagai daerah di Negeri Sembilan dan juga daerah Bera, Pahang. Majoriti kes yang diterima adalah pesakit bergejala ringan iaitu kategori 2 (36 peratus) namun memerlukan pemerhatian rapi di hospital kerana berisiko tinggi (contohnya warga emas dengan pelbagai penyakit lain). Ini diikuti dengan pesakit dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen iaitu kategori 4 (25 peratus) dan pesakit dengan radang paru-paru iaitu kategori 3 (19 peratus). Setakat ini 4 peratus kes adalah dari kategori 5 iaitu kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan (ventilator).

Kesiapsiagaan sedang dan telah dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan dengan kerjasama Kerajaan Negeri serta pelbagai agensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Semoga segala usaha kita semua akan dapat membendung penularan jangkitan virus ini. 

Let’s fight the virus together as one.

TAN SRI DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
Malaysia – HARAKAHDAILY 11/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/578835322140360/posts/4624674087556443/

- Advertisement -