Polis reman individu disyaki sengaja aib MB Kedah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan reman seorang lelaki berusia 61 tahun bagi membantu siasatan berhubung video yang didakwa sengaja mengaibkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Warga emas itu ditahan di kediamannya di Lenggeng, Negeri Sembilan kira-kira jam 3.17 pagi hari ini berikutan satu laporan polis terhadapnya dibuat oleh Pegawai Khas Menteri Besar, Ustaz Azizan Hamzah.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, individu berkenaan memuatnaik video berdurasi kira-kira sembilan minit di laman sosial medianya, Kamal Hero Malaya.

“Video itu dipercaya dibuat untuk menghina serta menjatuhkan maruah Menteri Besar Kedah serta bermotifkan politik mencemar reputasinya,” maklum beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 504 kanun keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Sekiranya bersabit kesalahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

“Sementara Kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil pula boleh dikenakan denda yang tidak melebihi seratus ringgit.

“Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia membawa hukuman jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” maklum beliau.

Menurutnya lagi, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan semakan mendapati individu berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau yang masih disiasat di bawah seksyen 506 kanun keseksaan.

Bagaimanapun suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas semua keterangan diambil.

“Siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -