Muharram tahun baharu umat Islam

- Advertisement -

CEPATNYA masa berlalu…

- Advertisement -

Saat menjadi minit,
Minit menjadi hari,
Hari menjadi bulan,
Bulan menjadi tahun:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula saling berpesan dengan kebenaran serta saling berpesan dengan kesabaran.

(al-Ashr: 1-4)

Setelah selesai merayakan Hari Raya Aidil Adha 1442H baru-baru ini dan melaksanakan sembelihan korban di bulan Zulhijjah, sekarang menjelang pula kegembiraan menyambut kedatangan bulan Muharram, yang sinonim dengan perayaan sambutan tahun baru Hijrah. 

Muharram adalah bulan pertama dalam Takwim Hijrah. Muharram bermaksud ‘Diharamkan’ iaitu Allah S.W.T melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Bulan Muharram mengingatkan kita, umat Islam mengenai dua hal penting:

Pertama: Bulan ini adalah satu dari empat bulan yang dimuliakan dan yang diagungkan oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya, sebagai bulan haram. 

Kedua: bulan Muharram juga adalah tahun baru umat Islam yang dikenali dengan peristiwa besar berupa peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W daripada Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Ianya permulaan penggunaan kalender Islam. Sekarang Hijrah ini dimaksudkan sebagai perjuangan penerapan nilai keislaman untuk diri sendiri, seperti berani meninggalkan sesuatu yang tidak baik yang merugikan diri sendiri dan berubah pada sesuatu yang lebih baik menurut nilai Islam.

Apakah bulan haram itu?

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir Musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.”

(at-Taubah: 36)

Tafsiran ayatnya:

Di antaranya, 12 bulan tersebut ada empat bulan haram atau yang dimuliakan, Iaitu bulan Zulqa’dah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Itulah ketetapan agama yang lurus, iaitu empat bulan yang dimuliakan itu sesuai dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T dan menjadi syariat agama-Nya. Maka jangan kalian menzalimi diri kalian dengan melakukan peperangan seperti Allah S.W.T nyatakan dalam ayat-Nya:

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”

(Al-Baqarah: 217)

Dan jangan melakukan perbuatan dosa dan maksiat kerana dosanya akan dilipat gandakan namun sesiapa melakukan amalan yang soleh, maka akan dilipat gandakan juga pahalanya.

Kenapa dipanggil bulan haram

Para ulamak menyatakan terdapat dua makna pada istilah Haram:

Pertama: Pada bulan-bulan tersebut diharamkan melakukan pembunuhan dan pertumpahan darah.

Kedua: Pada bulan-bulan tersebut juga, dilarang melakukan perbuatan-perbuatan yang haram dan zalim sama ada kepada diri sendiri atau kepada orang lain. Kezaliman yang dimaksudkan itu seperti, meninggalkan yang diwajibkan oleh Allah S.W.T dan melanggar apa yang dilarang-Nya dan tidak mentaati perintah-Nya.

Di luar bulan-bulan ini, perbuatan seperti ini tentu sahaja ada berlaku, tetapi di dalam bulan-bulan haram ini lebih ditekankan kerana dosanya lebih besar dan berganda dan begitu juga kalau melakukan ketaatan, pahalanya juga lebih besar dan berganda. Jadi pada bulan Muharram ini, iaitu salah satu dari empat bulan-bulan haram dalam Islam, Islam menekankan agar melaksanakan berbanyak-banyak amalan soleh. 

Di saat kita melaksanakan amalan soleh ini, kita memantapkan lagi mutu setiap amalan kita. Contohnya: 

Kita akan berusaha mendalami ilmu mengenai solat yang sempurna, kita akan mendirikan solat yang sebenarnya ikut solat Nabi S.A.W, kita akan solat tepat pada waktunya, kita akan berusaha untuk lebih khusyuk dalam solat, memastikan kita akan solat secara berjamaah, berzikir selepas solat dan menghiasinya dengan memperbanyak solat-solat sunat yang mengiringi solat yang fardu, solat sunat Dhuha, Tahajud, Witir dan lain-lain.

Bulan Muharram juga dikenali sebagai syahrullah, bulan Allah seperti juga ketika menyebut Kaabah sebagai Baitullah, rumah Allah.

Di samping amalan-amalan soleh di atas, kita juga dianjurkan untuk memperbanyakkan membaca al-Quran, memahami makna setiap ayat-ayat, mentadabburnya dan melaksanakannya di dalam kehidupan. Tak lupa juga, memperbanyakkan bersedekah atau memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukannya, mempelajari dan mengkaji ilmu mengenai agama, berdakwah dengan penuh ikhlas dan berhikmah dan sekali gus, mujahadah (berjihad) sungguh-sungguh menjauhi apa sahaja bentuk dosa dan maksiat.

Pengertian amal soleh

Amal soleh ialah segala perbuatan yang diredai dan disukai oleh Allah S.W.T. Ianya hendaklah memenuhi dua syarat iaitu:

Pertama: Perbuatan itu hendaklah selaras dan bersesuaian dengan syariat Islam.

Kedua: Perbuatan atau perlakuan itu bertujuan untuk mendapat keredaan daripada Allah S.W.T.

Seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): “…. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.

(al-Kahfi: 110)

Sekarang kita berada di bulan Muharram. Apakah di antara amalan-amalan soleh yang digalakkan umat Islam untuk melaksanakannya di sepanjang bulan Muharram ini dan juga di bulan-bulan yang lain?

1. Yang paling utamanya adalah amalan puasa.

Ketahuilah bahawa bulan Muharram adalah shahrullah, iaitu bulan Allah S.W.T.

Nabi S.A.W. mengatakan yang bermaksud:

“Sebaik-baiknya puasa setelah bulan Ramadan adalah berpuasa di bulan Allah, iaitu bulan Muharram. Sementara solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Keutamaannya juga sangat luar biasa:

“Nabi S.A.W ditanya mengenai keutamaan puasa Arafah? Beliau menjawab, “Puasa Arafah akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang,” Beliau juga ditanya mengenai keistimewaan puasa Asyura? Beliau menjawab, “Puasa asyura akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.””

(Hadis Riwayat Muslim)

Perbanyakkanlah berpuasa di bulan Muharram ini. Ada hari yang istimewa di bulan ini, iaitu di hari yang kesepuluh dalam bulan Muharram di mana dikenali dengan Asyura pada hari itu Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Musa dari buruan Firaun bersama Bani Israel dan pada hari itu Allah S.W.T menunjukkan kebesarannya, dibelah-Nya lautan dan ditenggelamkan-Nya Firaun dan bala tenteranya. Bani Israel berpuasa pada hari Asyura sebagai bentuk syukur kepada Allah S.W.T di atas nikmat yang diberikan. 

Dan Rasulullah S.A.W di awal Islam memerintahkan para Sahabatnya untuk berpuasa di hari Asyura. Untuk membezakan dengan orang Yahudi, Nabi S.A.W ingin berpuasa pada 9 Muharram, yang dikenali juga dengan puasa Tasu’a. Jadi jangan lupa berpuasa pada tarikh 9 dan 10 Muharram ini dengan harapan diampunkan oleh Allah S.W.T dosa selama satu tahun sebelumnya.

Selain kedua puasa tersebut, bulan Muharram serta 12 bulan Islam yang lainnya, juga dianjurkan untuk berpuasa Ayyamul Bidh, puasa putih pada 13, 14 dan 15 Muharram dan juga puasa sunat di hari Isnin dan Khamis. Lakukanlah puasa-puasa ini sebagai amalan-amalan soleh yang digalakkan umat Islam melakukannya di sepanjang bulan Muharram ini . Setiap amalan soleh akan Allah S.W.T ganjari dengan pahala berganda.

Di bulan-bulan haram memang disunatkan kita berpuasa seperti Hadis Nabi S.A.W di bawah. Dan dengan berpuasa juga, amalan-amalan soleh yang lain juga akan mengikut. Contohnya: Apabila kita berpuasa kita akan rajin membaca Quran dan mentadabburnya, kita akan rajin bersedekah iaitu meluaskan dan mengagihkan rezeki yang kita ada kepada kaum keluarga terdekat dan sesiapa sahaja yang memerlukannya, kita akan rajin solat sunat seperti Solat Sunat Rawatib, Tahajud, Witir dan solat-solat sunat yang lain, kita akan rajin menziarahi sahabat-sahabat dan alim ulamak, kita akan rajin belajar, mendalami ilmu agama dan lain-lain amalan soleh yang lain. Dan orang yang sedang berpuasa tidak tertarik untuk melakukan dosa dan maksiat. Dan dengan berpuasa juga, kalian berjaya mendidik hati untuk bersabar.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Puasa yang dicintai Allah S.W.T setelah bulan Ramadan adalah di bulan haram.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Jadi, kehadiran bulan Muharram seolah-olah mengingatkan kita kembali mengenai kegembiraan kita ketika menyambut kehadiran bulan Ramadan dulu, yang seluruh umat Islam bersemangat memenuhi masanya dengan kesungguhan melaksanakan amalan soleh di dalamnya.

2. Mengeratkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam:

”Tidak sempurna keimanan salah seorang di antara kalian, hingga dia suka apabila saudaranya memperoleh sesuatu yang juga dia sukai.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

“Manusia yang paling dicintai Allah adalah yang paling bermanfaat di antara mereka.”

(Hasan- Riwayat Ibnu Abi Dunya dalam Qada` al-Hawaij)

“Dari 
Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W telah bersabda: Janganlah kamu dengki mendengki,jangan tipu menipu, jangan benci-membenci, jangan berpaling muka dan jangan berjual beli di atas jualan orang lain. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam dengan orang Islam adalah bersaudara.

“Mereka tidak boleh menzalimi, tidak boleh membiarkannya dalam kehinaan, tidak boleh membohonginya dan menghina sesama Islam. Takwa itu di sini, kata Nabi S.A.W sambil menunjuk ke dadanya tiga kali. Memadai seseorang itu dianggap jahat apabila dia menghina saudaranya. Setiap orang Islam ke atas orang Islam lain haram darah, harta dan kehormatannya
.

(Hadis Riwayat Muslim)

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”


(al-Hujurat: 10)

Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Persaudaraan ini adalah kerana Iman dan agama. Jadi seandainya terjadi perselisihan di antara sesama Muslim maka damaikanlah, kemudian bertakwalah kepada Allah S.W.T.

Umat Islam mesti bangkit dari mimpinya dan kembali melihat perintah Nabi S.A.W seperti dalam Hadis di atas. Jangan saling berhasad dengki di atas kelebihan yang dimiliki oleh saudara kita dan menginginkan nikmat itu hilang darinya dan begitu juga dengan sifat-sifat mazmumah yang lain. Kenapa? Kerana umat Islam adalah bersaudara. Jadi umat Islam mesti saling berkenalan, saling empati dan saling bertolong bantu serta melengkapi di antara satu sama lain.

3. Memenuhi masa dengan perkara yang bermanfaat.

Masa adalah zaman, waktu, saat, ketika dan detik yang dilalui dalam menjalani kehidupan seharian:

a. Masa adalah kehidupan itu sendiri, masa bukannya emas.

b. Kejayaan atau kegagalan di dunia dan akhirat bergantung kepada sejauhmana kita mengurus dan menggunakan masa.

c. Matlamat ajaran Islam adalah bahagia di dunia dan di akhirat.

d. Di hari kiamat dua dari empat soalan akan ditanya: Bagaimana umur dihabiskan? Bagaimana masa remaja digunakan?

Masa yang hilang tiada ganti kerana masa yang mendatang adalah masa yang berlainan. Pembaziran masa adalah menzalimi diri sendiri. Hormatilah waktu sama ada masa untuk sendiri atau orang lain.

4. Rebut lima peluang sebelum datang lima penghalang:

”Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain iaitu (1) masa muda mu sebelum tua mu, (2) masa sihat mu sebelum sakit mu, (3) masa kaya mu sebelum miskin mu, (4) masa lapang mu sebelum sibuk mu dan (5) masa hidup mu sebelum mati mu.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Musuh pertama dalam pengurusan masa ialah suka kerja bertangguh:

Dari Ibnu Umar R.A berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya:

“Hendaklah engkau berada di dunia ini seperti orang berdagang, Ibnu Umar berkata: Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi, dan apabila berada di waktu pagi janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah dari sihat engkau bagi sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Sentiasa menghitung masa. Mempunyai matlamat. Mempunyai jam. Mengubah tabiat lama yang negatif. Bijak membahagi masa, menjaga masa dan merancang jadual waktu masa beribadat seperti di bawah:

a. Masa bekerja.

b. Masa belajar.

c. Masa bersama jamaah.

d. Masa bersama keluarga.

e. Masa bermasyarakat.

f. Masa berehat.

Penutup

Sebagai umat Islam, jadikanlah bulan Muharram ini sebagai bulan yang sangat-sangat kita tunggu untuk kita memulakan azam tahun baru. Biarlah tekad masa depan kita bermula dari awal tahun baru Islam ini. Cuba mengubah minda kita dari mengagungkan tahun baru Masihi kepada tahun baru Hijrah. Moga sedikit panduan yang diberikan di atas itu dapat menjentik hati untuk berubah kepada hamba Allah S.W.T yang lebih baik untuk hari-hari mendatang. Aamiin.

Rasulullah S.A.W berdoa:

الّلهُمَّ إِنِّى أَعُوذُبِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَيَنفَعُ وَقَلْبٍ

لاَيَخْشَعُ وَعَمَلٍ لاَيُرْفَعُ وَدُعَاءٍ لاَيُسْمَعُ

“Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada ilmu yang tidak bermanfaat dan daripada hati yang tidak khusyuk dan daripada amal yang tidak diangkat (terima) dan daripada doa yang tidak didengari (tidak makbul).”

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -