Hijrah sumber perpaduan ummah

- Advertisement -

بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيمِ

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

- Advertisement -

Salam sejahtera:

﴿وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا١٠٠﴾ [النساء: 100]

“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(al-Nisa’: 100)

Segala pujian hanya bagi Allah S.W.T yang tidak putus-putus memberikan nikmat dan rahmat kepada kita. Selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi pelopor perubahan di dalam sejarah peradaban manusia berpandukan wahyu Ilahi.

Sejarah penghijrahan Rasulullah S.A.W adalah contoh terbaik untuk umat Islam menanamkan sifat-sifat persaudaraan, saling bantu membantu, pengorbanan dan kasih sayang. Perseteruan panjang Aus dan Khazraj mampu didamaikan menjadi Muhajirin dan Ansar adalah titik permulaan perpaduan ummah. 

Selepas peristiwa itu, Islam terus berkembang dan diterima walaupun terdapat hasutan yang datangnya dari golongan munafik dengan sokongan musuh Islam untuk merungkai ikatan ukhuwah umat Islam dan kaum-kaum yang menyokong perdamaian.

Hijrah juga membimbing kita dalam ledakan teknologi maklumat yang semakin mencabar mutakhir ini. Umat Islam harus bijak dan peka manfaatkannya untuk perkara yang menjurus ke arah kebaikan bukan cenderung ke lembah fitnah, adu domba, maki hamun dan segala macam perkara jelek menatijahkan perpecahan lalu diambil kesempatan oleh musuh untuk menguasai.

Justeru, peranan kita bersama ialah memastikan perpaduan ummah sentiasa diperkukuh dan diperkemas demi melahirkan masyarakat dan negeri bercirikan Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur

Mewakili Badan Perhubungan PAS Kedah, saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru Hijrah 1443H kepada semua khususnya rakyat Negeri Kedah dengan menjadikan peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W sebagai sumber kekuatan untuk berubah menjadi individu yang lebih baik dan ummah yang bersatu padu.

سيروا على بركة الله

“اسلام ممڤركوكوه  ڤرڤادوان” 

USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah 
1 Muharram 1443H | 10 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -