Pasangan jarak jauh dibenar rentas negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan pasangan suami isteri jarak jauh yang telah mendapat vaksin dos lengkap, merentas daerah dan negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

- Advertisement -

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan bersetuju memberikan kemudahan kuarantin dan perjalanan untuk individu yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia, yang pulang atau tiba dari luar negara dan telah mendapat vaksin dos lengkap, dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

Selain itu, ibu bapa yang telah mendapat vaksin dos lengkap turut dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun, katanya dalam Pengumuman Khas Perdana Menteri, hari ini.

Sementara itu, bagi merancakkan aktiviti sosial, kerajaan juga bersetuju memberikan kemudahan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa 2 dan seterusnya.

“Kemudahan-kemudahan tersebut secara amnya adalah, rentas daerah dibenarkan.

“Individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah mesti menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” ujarnya.

Kemudahan yang diumumkan itu akan mula berkuatkuasa pada Selasa, 10 Ogos 2021 dan perinciannya akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat. – HARAKAHDAILY 8/8/2021

- Advertisement -