Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Mana-mana ahli parlimen (MP) yang bersekongkol menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mereka sebenarnya dianggap mendukung agenda kleptokrat.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, karakter-karakter seperti itu ditolak rakyat sampai ke anak cucu.
Katanya mereka pasti akan berdepan situasi sukar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti memandang ia sudah dibuktikan pada PRU lepas.
“Saya difahamkan ada pihak bermesyuarat saban hari untuk menjatuhkan kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertungkus lumus menangai pandemik Covid-19 dan memulihkan situasi ekonomi negara.
“Rakyat dan pengundi yang matang seharusnya boleh membezakan antara putih dan hitam kerana hitamnya sangatlah pekat dan kental,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya juga perletakan jawatan pihak tertentu dalam kerajaan PN mencerminkan kuatnya godaan dan tarikan daripada kumpulan kleptokrat.
“Ia umpama kelip-kelip yang terpesona dengan api tetapi akhirnya membakar diri. Inilah yang kita kurang faham, malah mungkin tidak akan faham sampai bila-bila,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/8/2021