Pertubuhan Prihatin Rakyat bantu penduduk PKPD

- Advertisement -

Oleh DANISYA ISMAIL

- Advertisement -

TAMBUN: Pertubuhan Prihatin Rakyat Kinta, Perak menghulurkan bantuan keperluan makanan asas kepada penduduk Medan Klebang Restu berikutan lokasi itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), baru-baru ini.

Pengerusinya, Ustaz Hafez Sabri ketika ditemui Harakahdaily berkata, usaha itu merupakan usahasama pihaknya bersama ramai pihak lain yang turut sama membantu menjayakan program sumbangan itu.

“Alhamdulillah ramai dermawan (yang) menyumbang untuk menjayakan usaha ini. Kita berjaya mengumpul sumbangan yang berjumlah (hampir) RM 30,000 dalam masa yang singkat.

“Mereka (penduduk Medan Klebang Restu) kini tidak boleh keluar kerana PKPD. Maka peranan kita sebagai badan NGO, pimpinan masyarakat dan sebagainya haruslah dimainkan sebaiknya untuk meringankan kekangan yang mereka dihadapi,” kongsinya.

Berikutan jumlah sumbangan yang terkumpul, jelasnya sebanyak 860 bungkusan keperluan makanan harian dapat disediakan untuk diedarkan kepada penduduk.

Menurut Ustaz Hafez, usaha murni itu turut mendapat kerjasama baik daripada beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan lain-lain lagi.

Katanya lagi, dalam program-program kebajikan seperti ini, maka hubungan baik antara NGO, pemimpin masyarakat dan agensi-agensi kerajaan dapat diperkukuh.

“Usahasama seumpama ini akan berterusan dan tenaga sukarelawan yang ramai bersama NGO Prihatin Rakyat sudah pasti akan memudahkan lagi gerak kerja dengan cepat dan menyeluruh.

“Denyut nadi rakyat khususnya berkaitan kebajikan sentiasa menjadi perhatian saya. Sudah menjadi rutin saya bertemu masyarakat yang memerlukan bantuan dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi

Pihak NGO Prihatin Rakyat juga merayu sumbangan infaq daripada orang ramai bagi membantu lebih ramai masyarakat yang boleh disalurkan melalui Akaun Bank Maybank Islamic Pertubuhan Prihatin Rakyat, Kinta, Perak 558220626009. – HARAKAHDAILY 6/8/2021

- Advertisement -