MCA, MIC sokong kerajaan Perikatan Nasional

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti komponen Barisan Nasional (BN), Malaysian Chinese Association (MCA) memutuskan untuk kekal bersama ahli-ahli Parlimen Umno menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keputusan itu kata Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berdasarkan ketetapan BN yang diluluskan sebelum ini bahawa BN akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

- Advertisement -

“Biro politik MCA telah membuat satu ketetapan bahawa kita membawa apa jua ketetapan BN yang diluluskan pada tahun lalu.

“Dan ketika itu adalah untuk menyertai kerajaan PN sehingga PRU akan datang. Selagi pusat itu kekal kita rasa terpanggil untuk membawa ketetapan ini.

“Kita bersama-sama dengan rakan seperjuangan dalam BN, dan kita akan bersama-sama dan kita berharap kita mementingkan rakyat

“Soal Covid-19 kita uruskan dan akhirnya rakyat yang akan buat keputusan melalui PRU,” ujarnya yang juga Menteri Pengangkutan ketika berucap dalam sidang media ahli-ahli Parlimen Umno di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Naib Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan.

Datuk Seri M. Saravanan

Sementara itu, Malaysia Indian Congress (MIC) turut menyatakan hal sama bahawa parti itu akan menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin berdasarkan keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi MIC dan pucuk pimpinan BN.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan, MIC akur dengan keputusan BN memandangkan mereka diberi peluang untuk bertanding atas tiket BN, bukan MIC.

“MIC tetap akur dengan keputusan BN sebagai ahli Parlimen, sebab kami telah diberi peluang untuk bertanding atas tiket BN, bukan MIC (atau) MCA.

“Maka segala keputusan harus dibuat di peringkat BN. Sehingga sebarang keputusan dibuat, kita akan teruskan sokongan kita seperti mana yang disebut oleh YB Wee kepada kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujarnya yang juga Menteri Sumbar Manusia. – HARAKAHDAILY 6/8/2021

- Advertisement -