Ahli Parlimen agih bekalan air ke lokasi terjejas

- Advertisement -

KUALA NERUS: Masalah gangguan bekalan air yang berlaku di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu mendapat tindakan segera wakil rakyat bagi membantu rakyat yang terjejas.

Masalah itu melibatkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Tepoh, Batu Rakit, Buluh Gading, Manir dan sebahagian Dun Seberang Takir membabitkan 28,700 akaun pengguna Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU).

- Advertisement -

Gangguan itu berlaku sejak Isnin lepas disebabkan paip di dasar Sungai Terengganu pecah dijangka pulih esok atau lusa.

SATU pada kenyataan semalam memberitahu kerja-kerja membaiki paip dijangka mengambil masa antara empat hingga lima hari bergantung kepada tahap kerosakan paip dan keadaan sungai.

Oleh itu, bagi mengatasi masalah tersebut Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengambil inisiatif menghantar bekalan 2,000 liter air minuman kepada penduduk di Kampung Wakaf Tengah di Dun Batu Rakit.

Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu, Ustaz Asyraf Annawawi berkata, inisiatif menghantar bekalan air minuman atas inisiatif Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim.

Katanya, Pemuda PAS Kuala Terengganu bersama Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu dan petugas Jabatan Amal menggerakkan bantuan itu.

“Bantuan bekalan air untuk penduduk di Kampung Wakaf Tengah, Mengabang Lekor 1 dan 2 serta Perumahan Tanjung,” katanya di sini, semalam.

Pegawai Penyelaras Dun Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail pula berkata, penduduk di daerah Kuala Nerus termasuk Dun Batu Rakit, Setiu menghadapi masalah kerana terputus bekalan air sejak dua hari lalu.

Selain itu SATU dan Jabatan Amal menghantar bekalan air menggunakan lori tangki SATU, Jabatan Bekalan Air (JBA) dan lori persendirian.

“Sumber bekalan air ada yang diambil daripada rumah penduduk yang mempunyai telaga, paip ‘boring’ dan sumber air bukit di Dun Batu Rakit,” ujarnya.

Hadir sama pada misi bantuan terbabit Pegawai Perhubungan dan Kemasyarakatan Parlimen Kuala Terengganu, Zulkifli Wahab.

Difahamkan juga sebanyak 36 tangki statik baru ditempatkan di beberapa lokasi bagi kemudahan penduduk yang terbabit.

Sementara itu, SATU memberitahu pembaikan paip di dasar sungai agak rumit dan memerlukan kontraktor berpengalaman serta pakar.

“Kedudukan dan laluan paip 1,200 milimeter di dasar sungai dikenal pasti melalui aktiviti selaman. Lokasi sebenar paip pecah juga ditemui dan proses pembaikan sudah dilaksanakan,” katanya.

SATU juga menggerakkan lapan lori tangki untuk diagihkan kepada kawasan terlibat dengan bantuan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Syarikat Pengurusan Air Pahang (PAIP).

SATU juga berusaha menambah 10 lagi lori tangki air dengan memohon bantuan daripada operator negeri lain melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurutnya sebanyak 36 tangki statik baru ditempatkan di sekitar kawasan terlibat mulai malam semalam. – HARAKAHDAILY 6/8/2021

- Advertisement -