Terlalu lama pandemik punca pematuhan SOP diabai

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR

KUALA KRAI:
Kerajaan negeri berharap rakyat Kelantan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang kini meningkat semula negeri itu.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, peningkatan kes berkenaan seharusnya menjadi ingatan kepada pihak yang tidak mematuhi SOP.

Katanya apa yang berlaku sekarang masyarakat sudah berada terlalu lama dalam pandemik sehingga pematuhan SOP semakin diabaikan.

- Advertisement -

“Kita juga tidak dapat menolak peningkatan kes Covid-19 kemungkinan disebabkan perayaan Aidiladha baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Guchil dekat sini, hari ini.

Semalam Kelantan mencatat kadar kes positif harian Covid-19 tertinggi iaitu 1,003 kes.

Oleh itu Ahmad berkata, bagi mengekang penularan Covid-19, kerajaan mengambil pendekatan dengan menambahkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Selain itu membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Ini antara usaha bersama kita selain memberi suntikan vaksin kepada rakyat.

“Apapun solat hajat dan bermunajat kepada Allah mesti kita laksanakan,” ujarnya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, Adun Guchil Hilmi Abdullah, Ketua Jajahan Kuala Krai Tengku Abdul Rahman Tuan Yunus dan Pegawai Kesihatan Daerah Dr Hafuza Mat Zubir.

Beliau juga berkata, walaupun sudah ramai penduduk di negeri itu divaksinkan, namun mereka perlu menjaga SOP. – HARAKAHDAILY 5/8/2021

- Advertisement -