Respon Felda mengenai 10 resolusi GENERASI

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Felda bakal mempertimbang tawaran untuk memberi insentif tanggungan kos tanam semula hadapan kepada peneroka yang tidak mendapat tawaran penghapusan hutang disebabkan tiada hutang.

Insentif itu akan turut diperluaskan kepada peneroka yang mendapat penghapusan kurang RM5,000.

Bagaimanapun, pada masa ini kadar atau jumlah insentif belum ditetapkan.

Setelah perkara diputuskan, Felda akan mengeluarkan Surat Tawaran Insentif kepada peneroka yang layak.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI), Ustaz Roslan Md Esa melalui maklum balas Felda terhadap 10 resolusi yang dihantar GENERASI kepada Felda berhubung isu perjanjian penghapusan pinjaman dan pengurusan kebun antara peneroka dan Felda, hari ini.

Menerusi maklum balas sama, Felda turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan memaksa peneroka untuk menandatangani sebarang perjanjian seperti mana perjanjian-perjajian komersial lain.

Selain itu, melalui Program Tanam Semula 2020, Felda memaklumkan bahawa pihaknya telah menurunkan kadar caj perkhidmatan dari 6.25 peratus kepada 2 peratus berdasarkan baki kos tanam semula dan Pinjaman Sara Hidup yang diambil peneroka.

Tindakan itu kata Felda, bagi mengurangkan beban hutang peneroka di samping mengimbangi kos kewangan yang dihadapi Felda.

Sementara itu, Felda juga menerangkan bahawa pihaknya telah menawarkan harga buah tandan segar (BTS) yang lebih baik daripada pasaran luar seperti mana yang dituntut resolusi kepada peneroka di mana pasaran luar menawarkan harga belian yang lebih rendah berbanding Felda.

Di samping itu, bagi memastikan peneroka memahami mengenai perjanjian yang ditawarkan, Felda turut menyediakan penerangan, penjelasan, pek maklumat, soalan-soalan lazim dan penerangan maya melalui media sosial dan juga media arus perdana. – HARAKAHDAILY 5/8/2021

10 resolusi GENERASI kepada Felda

  • Felda perlu menawarkan harga yang lebih kompetitif dan lebih baik daripada pasaran luar.
  • Felda hendaklah memastikan pembayaran kepada peneroka yang menjual hasil kspada Felda dibuat secara mingguan.
  • Felda hendaklah memberi insentif kepada peneroka yang mengusahakan ladang sendiri (tiada hutang) dan peneroka yang pernah membayar hutang (secara berdisiplin).
  • GENERASI memohon agar penyerahan pengurusan ladang kepada Felda ditetapkan tempoh secara jelas.
  • Sekiranya pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian melanggar mana-mana klausa perjanjian, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka.
  • Felda hendaklah mengiktiraf hak sama rata di antara peneroka yang mengurus ladang mereka sendiri dan peneroka yang menyerahkan ladang mereka kepada Felda.
  • Felda hendaklah mengisytihar pilihan kepada peneroka di mana di mana peneroka boleh memilih sama ada untuk menandatangan perjanjian ataupun tidak.
  • Felda hendaklah memberikan penerangan secara terperinci mengenai kaedah pengiraan perlupusan hutang 80% hutang kepada peneroka.
  • Bagi yang menyerahkan ladang kepada Felda hasil hendaklah secara individu dan wang sara hidup diberikan hendaklah patuh syariah dan tidak melebihi 3 peratus caj perkhidmatan.
  • Felda hendaklah memperkasa kaedah penerangan kepada peneroka serta melanjutkan tempoh tanda tangan kepada waktu yang lebih munasabah