KOTA BHARU: Kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia memberi laluan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September ini dianggap menurunkan sikit suhu politik negara.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengumuman perdana menteri semalam mampu menenangkan seketika keadaan kemelut politik.
Katanya, sehingga sekarang kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai majoriti untuk terus mengemudi pentadbiran ketika negara sedang berhadapan pandemik Covid-19.
“Malah PAS berdiri teguh dan menyokong kepimpinan perdana menteri dan kerajaan sekarang,” katanya selepas meninjau operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Parlimen Kubang Kerian di Sekolah Antarabangsa Wadi Sofia di Padang Bonggor dekat sini hari ini.
Semalam pada kenyataan media Muhyiddin menegaskan keabsahannya sebagai perdana menteri akan ditentukan melalui usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat September ini.
Menurut perdana menteri beliau sudah sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong kaedah bagi menentukan keabsahannya sebagai perdana menteri di Parlimen.
Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, kemelut politik negara berlaku setelah Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendakwa pihaknya mempunyai bilangan majoriti di parlimen.
“Kalau ada pihak yang rasa dia ada nombor, dia boleh buktikan pada Parlimen September depan. Dia boleh buktikan,” ujarnya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, dalam situasi skarang rakyat mahu kerajaan menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi dan kehidupan mereka.
Katanya itu menjadi keutamaan rakyat berbanding perubahan politik negara.
Malah kata beliau tindakan pembangkang terus menerus mendesak mahu menukar kerajaan menjejaskan usaha kerajaan khususnya kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Dalam masa dua tiga bulan lagi pilihan raya mungkin diadakan, jadi tidak sesuailah hendak tukar perdana menteri dalam situasi sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!