Pakej rangsangan ekonomi sukses bantu usahawan

- Advertisement -

Oleh PROF MADYA TS DR ANUAR SHAH BALI MAHOMED

PENULARAN pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada golongan usahawan yang terlibat dalam bidang bisnes sama ada untuk industri besar mahupun industri kecil dan sederhana (PKS), ekoran sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walau bagaimanapun, terdapat usaha untuk mengatasi masalah tersebut dengan mengaplikasikan banyak kemudahan melalui pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang telah ditawarkan kerajaan.

Ia termasuklah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang merupakan pakej rangsangan kelapan diumumkan sepanjang era pandemik Covid-19 ini.

- Advertisement -

Nama Pemulih dipilih selari dengan nama pelan yang diumumkan kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan nilai RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan berjumlah RM10 bilion.

Pemulih merupakan sebahagian daripada lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion yang diumumkan kerajaan susulan pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, kesan daripada tiga pakej rangsangan ekonomi melalui Pemerkasa (sebanyak RM20 bilion), Pemerkasa + (RM40 bilion) dan Pemulih (RM15 bilion) juga dapat memberi impak positif kepada PKS sepanjang tempoh PKP 3.0 yang menunjukkan peralihan lebih banyak negeri kepada Fasa 2 dalam PPN .

Selain itu, banyak lagi pakej bantuan kerajaan telah diperkenalkan yang bukan hanya membantu golongan individu malah juga PKS dengan salah satu daripadanya ialah Program Subsidi Upah (PSU).

Sejak PSU diperkenalkan, kerajaan sudah membelanjakan lebih RM15 bilion untuk membantu majikan membuat pembayaran gaji kepada kira-kira 2.7 juta pekerja.

PSU sebelum ini yang terdiri daripada PSU 1.0, PSU 2.0 dan PSU 3.0 dilihat sebagai telah berjaya menurunkan kadar pengangguran negara.

Ekoran maklum balas positif hasil ketiga-tiga program tersebut, kerajaan telah melanjutkannya untuk PSU 4.0 dengan peruntukan lebih daripada RM3.8 bilion bagi menyalurkan bantuan kepada lebih daripada 2.5 juta pekerja.

Melalui inisiatif pelanjutan PSU melalui PSU 4.0 itu, ia dilihat sebagai telah berjaya mengurangkan kadar pengangguran sebelum ini kepada 4.8 peratus pada Februari 2021, kurang 0.1 peratus berbanding 4.9 peratus sejak Januari 2021.

PSU 4.0 telah digunakan untuk menampung 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar lebih daripada RM600 untuk setiap pekerja selama empat bulan, setiap dua bulan untuk semua sektor dalam fasa kedua PPN dan dua bulan khusus untuk sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif sepanjang fasa ketiga PPN.

Jika sebelum ini, pelaksanaan PSU disyaratkan dengan gaji di bawah RM4,000, namun bagi PSU 4.0 tidak ada syarat syarat gaji ditetapkan. Maka, majikan boleh menggunakan PSU 4.0 untuk pekerja yang bergaji lebih daripada RM4,000.

PSU 4.0 berperanan sebagai serampang dua mata yang diperlukan untuk daya tahan hidup yang diperlukan PKS supaya tidak perlu gulung tikar dan seterusnya membantu rakyat Malaysia memperoleh peluang pekerjaan yang masih ada.

Sementara bagi memastikan kelangsungan PKS dalam era mencabar ini, golongan peniaga perlu mengaplikasikan bisnes dalam talian dan e-dagang.

Justeru, Program Shop Malaysia Online yang diperkenalkan di bawah pakej Penjana tahun lalu untuk membantu lebih 200,000 usahawan meningkatkan penjualan mereka melalui platform e-dagang dengan nilai transaksi mencecah RM1.8 bilion.

Sehubungan itu, bagi menyokong agenda digitalisasi dan urusan transaksi tanpa tunai, kerajaan telah memperkenalkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (Pupuk) sebagai inisiatif menyeluruh dengan memperuntukkan RM200 juta kepada syarikat mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan RM100 juta untuk PKS.

PMKS, PKS dan usahawan yang baru menceburi dalam perniagaan memerlukan peluang tersedia seperti yang ditawarkan menerusi kempen Shop Malaysia Online dan GoeCommerce Onboarding, yang mana kerajaan menyasarkannya kepada lebih 300,000 usahawan mikro seperti bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk pakaian ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai.

Peruntukan RM100 juta di bawah SME Digitalisation Grant juga telah disediakan bagi usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga RM5,000 untuk pembelian sistem atau langganan platform digital.

Sementara, melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui SKMM juga menyediakan penyertaan PMKS menceburi platform e-dagang.

Seterusnya, untuk membantu golongan usahawan di luar bandar khususnya golongan petani yang telah dikenalpasti agar mahir menggunakan teknologi terkini, maka Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian telah diperkenalkan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan. – HARAKAHDAILY 5/8/2021


Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM)

- Advertisement -