KAD petugas dan kaset ceramah. Inilah koleksi peribadi Almarhum Anuardi Abu Bakar, Pegawai Khas (Kawasan) Kepada YAB Menteri Besar (MB) Kedah, sahabat kami yang telah pergi dijemput Ilahi. Semalam, 4 Ogos 2021, hari ulang tahun kelahiran MB. Hari yang sama juga MB kehilangan teman karib dan tulang belakang perjuangannya. Anuardi menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8:45 malam di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, setelah beberapa minggu menerima rawatan kerana komplikasi jantung dan buah pinggang.
Pagi tadi, ketika kami rombongan YAB MB menziarahi jenazah almarhum di rumahnya, suasana bertambah sayu apabila mata kami tertumpu pada koleksi kad petugas ini. Semua kad petugasnya disimpan dengan rapi. Sejak dari zaman pemuda hingga akhir hayatnya.
Sewaktu zaman usia pemuda, almarhum pernah ditugaskan sebagai Setiausaha dan Naib Ketua di peringkat Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik. Setelah diberi kepercayaan sebagai salah seorang kepimpinan Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, khidmat beliau terus dicurahkan dalam PAS Kawasan Sik dalam beberapa posisi tugas; Ahli Jawatankuasa, Setiausaha, Pemangku Naib Yang Dipertua, dan yang terakhir adalah sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS Kawasan Sik.
Banyak lagi tugasan-tugasan lain yang pernah dipikul almarhum, seperti mana banyaknya bilangan kad petugas yang tergantung di dinding kayu ini. Sebagaimana rapinya kad petugas itu disimpan, sebegitu rapilah tugasan dilaksanakannya. Pantang ada sahaja tugasan daripada YAB MB, pasti akan terus dilaksanakannya tanpa bertangguh, walaupun tengah malam. Kalaupun ada halangan pada sebelah malam, tugasan itu pasti akan diselesaikannya pada awal pagi keesokkan harinya.
Selain kad petugas, turut kelihatan kaset-kaset lama rakaman ceramah pendakwah terkemuka Utara tanah air. Antaranya kaset ceramah Ustaz Shamsuri Ahmad, Ust (Dato’) Badaruddin, dan ceramah pimpinan-pimpinan PAS pada era tersebut.
Pagi tadi, solat jenazah berlangsung dua kali. Sekali di rumah almarhum dan sekali di Masjid Kg Chepir, Sik. Di rumah almarhum, ayahanda almarhum sendiri mengimamkan solat jenazah. Imam Abu Bakar, bekas imam Masjid Chepir.
Selesai proses kafan, jenazah diletakkan di satu sudut. Sekali lagi mata kami terpaku dengan apa yang ada pada dinding rumah almarhum. Ruang ini nampaknya memang disediakan khusus oleh almarhum untuk beribadah. Berlatar belakangkan dinding kayu, ada gambar almarhum Ust Fadzil Noor tergantung. Sehelai sejadah tersidai, kopiah tersangkut, dan beberapa utas tasbih turut tergantung di dinding. Lampu kecil berwarna putih turut dilihat (barang kali digunakan cahayanya untuk membaca al-Quran). Beberapa potongan doa juga dilekatkan pada dinding kayu yang agak lusuh. Hebat. Almarhum seorang yang kemas dan rapi dalam hal ibadat. Tersusun dalam gerak kerja perjuangannya.
Walaupun almarhum seorang aktivis lama dalam politik, namun kehidupan beliau serba sederhana. Seperti yang digambarkan, rumah beliau separuh kayu separuh batu. Macam kebanyakkan rumah orang dulu-dulu. Kebiasaan bagi orang politik yang beramal dengan politik orang putih, waktu inilah kesempatan diambil untuk himpun harta sebanyaknya, apatah lagi ketika era ada kuasa sebagai kerajaan. Namun, ianya sangat berbeza dengan almarhum. Semua itu tidak menjadi habuan yang diburu almarhum. Jauh sekali mahu memburu jawatan Perdana Menteri.
Matlamat perjuangan almarhum jauh melangkaui dunia dan segala isinya. Dunia tempat almarhum menyemai benih segar perjuangan dan pohon amalan yang rimbun. Kini, almarhum sedang menanti saat menuai, setelah 52 tahun menyemai. Selamat menuai di negeri abadi. Kelak kami pula akan menyusuli.
AFNAN HAMIMI
Alor Setar
5 Ogos 2021 – HARAKAHDAILY 5/8/2021