Geng Ustaz beri komitmen pertahan kerajaan ‘Abah’

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama Malaysia (Geng Ustaz) memberi komitmen bahawa pihaknya akan menjadi komponen penting dalam mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi menjaga kesejahteraan agama, rakyat dan negara.

Tindakan itu kata Presidennya, Ustaz Kamalulhysham Mohd Suhut selaras dengan tuntutan Islam yang cintakan perdamaian dan keadilan.

Hal ini kerana beliau yakin, rakyat yang baik akan sentiasa bersama dengan pemimpin yang baik dalam merealisasikan kebaikan dan kemaslahatan rakyat dengan penuh kesedaran dan kewarasan, bukan melalui nafsu dan perasaan yang tidak mempunyai panduan yang kukuh.

“Kami menyokong penuh kenyataan yang telah di sampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini yang tidak melayan sebarang tuntutan politikus yang bermasalah dengan jenayah yang mesti diselesaikan dengan lunas-lunas mahkamah.

“Geng Ustaz sangat peka dengan kebaikan yang sedang dijayakan oleh pihak kerajaan menjaga maslahah rakyat dan menghalang kemungkaran yang sedang dirancangkan oleh tangan-tangan kotor politikus nafsu yang cuba menangguk di air yang keruh di ketika ini.

“Dalam kemelut pandemik Covid-19 yang sedang mengganas ini, sudah semestinya rakyat perlukan sebuah kerajaan yang mampu merenjiskan sedikit air keredaan bagi mengurangkan sedikit tekanan kehidupan mereka yang kian tertekan,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Tindakan itu katanya, selari dengan tuntutan amar makruf nahi mungkar di dalam Surah Aali Imraan ayat ke-110.

Justeru itu, beliau berpandangan bahawa tindakan desperado beberapa politikus daripada segelintir pihak dan pembangkang itu akan sentiasa dikenang sebagai sejarah hitam yang jahat oleh rakyat untuk dibalas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Keadaan rakyat jelata seperti jatuh ditimpa tangga akan menyemarakkan lagi api kebencian terhadap ahli-ahli politik sempit yang hanya memikirkan serakah nafsu gila menjadi Perdana Menteri dan kepentingan individu tertentu yang bermasalah telah menyemarakan lagi rasa meluat dan benci yang berkobar-kobar.

“Rakyat sudah muak dengan politiking murahan yang dimainkan oleh figura-figura yang bermasalah ini akan diterjemahkan di dalam PRU akan datang sebagai satu hukuman kepada golongan ini, insyaAllah,” kata beliau.

Oleh itu, beliau menyeru seluruh lapisan rakyat bersatu padu mempertahankan kerajaan pimpinan Muhyiddin dan menolak sebarang usaha jahat golongan terdesak, dengan menjadi benteng-benteng kukuh yang mempertahankan kerajaan sedia ada.

Katanya, yakinlah sesungguhnya Allah bersama dengan hamba-hambaNya yang beriman dan ikhlas berjuang. – HARAKAHDAILY 5/8/2021

- Advertisement -