Daging kerbau India negatif virus COVID-19 – JPV

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan bahawa sampel daging kerbau yang diimport dari India dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, didapati bebas daripada virus COVID-19.

Menurut JPV, jabatan itu telah melaksanakan program pemantauan dan pengawasan sejak pandemik COVID-19 menular dalam negara, bermula tahun lepas.

- Advertisement -

“Sejak Januari hingga Julai, sebanyak 455 sampel haiwan dan produk berasaskan haiwan keluaran tempatan dan import, termasuk daging kerbau dari India, telah dikumpul dan didapati negatif daripada virus itu.

“Setelah tiada virus COVID-19 dikesan pada daging kerbau yang diimport dari India, JPV tidak akan mengenakan sekatan import untuk daging kerbau sejuk beku,” menurut JPV kepada Bernama menerusi e-mel, semalam.

JPV juga mempunyai sistem yang teratur mengenai prosedur kelulusan pengimportan daging sejuk beku yang turut melibatkan daging kerbau India yang akan dibawa masuk ke negara ini.

Justeru jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan keselamatan daging kerbau sejuk beku yang diimport, kerana daging tersebut diperoleh dari rumah sembelihan yang telah mendapat kelulusan kerajaan Malaysia selain pusat pengeluaran daging dipantau rapi oleh pihak berkuasa negara pengeksport produk tersebut. – BERNAMA

- Advertisement -