Apabila berita kematian sudah tidak lagi menggemparkan nurani

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

- Advertisement -

PANDEMIK yang membuana ini telah meragut lebih 4.3 juta jiwa di seluruh dunia, manakala hampir 10,000 nyawa telah pulang ke negeri abadi di tanah air ini. Saban detik kita semua membaca dan dikhabarkan akan teman-teman yang telah dipanggil pulang ke negeri abadi. Kita cuba untuk mengingati detik dan saat manis bersama arwah namun sedetik kemudian mencuat lagi berita kematian teman yang lain.

Setahun dua ini kita sudah dibiasakan dengan khabar duka silih berganti sehingga untuk meninta belasungkawa yang ringkas pun seperti mengungkapkan ucapan salam atau selamat pagi. Hidup ini sangat singkat untuk bermalasan dan panjang angan-angan! Jika hari ini kita mungkin bergelak tawa dalam kumpulan WhatsApp keluarga dan alumni alma mater namun mungkin pada minggu depan kita sudah menggalang gelaran allahyarham.

Aku juga seperti kalian, kehilangan kawan baik, teman bergurau, anak murid, jiran tetangga, guru serta idola dalam merencah kehidupan yang berwarna warni ini. Dalam foto lama kita mungkin terselit guratan wajah mereka, menyeringai memandang kamera ponsel. Mereka yang meninggal dunia juga mungkin adalah rakan-rakan sepermainan, seperguruan, sepejabat, teman sekariah yang mungkin kita berebut lauk semasa acara berbuka puasa di surau taman perumahan. Mereka yang telah pergi dahulu daripada darah daging kita sendiri,mahupun dalam kalangan anggota keluarga kita dalam kelas bau-bau bacang.

Menerima khabar duka tak seperti dua dekad yang lampau, segalanya pantas di hujung jari. Media sosial seperti Instagram, Twittter, Facebook, kini menjadi media dan alat pantas bagi kita mendapat berita tentang keuzuran dan kematian. Begitu juga medium seperti WhatsApp dan Telegram yang setiap hari menjadi saluran kita mendapat berita kehilangan kawan dan taulan. Airmata kita sudah kering menangisi kehilangan, pandemik meragut nyawa kiri dan kanan, depan dan belakang. Acara tahlilan sudah terasa seperti wirid usai solat dan membaca doa makan!

Di Pejabat Penyelaras Parlimen, tok penghulu silih berdatangan mengambil set mandian jenazah dan kain kapan. Semalam adikku Huzaifah, memborong lima puluh set kit jenazah lagi, sebulan dua rasanya dapat dihabiskan dan kami akan mengulang beli di Kota Bharu bagi memudahkan warga Besut . Di telefon masing-masing juga, ada di antara kawan-kawan yang mengambil kaedah mudah seperti salin dan tampal ucapan takziah bertulisan jawi yang pelbagai aksara dan warna. Kaedah ini lebih luwes dan menjimatkan masa daripada menaip. ‘Moga Allah merahmati arwah’, ‘Innalilah…’ atau ‘Allahumagfirlahu…’ secara berulang kali dan telah menjadi rutin harian kita semua.

Dalam kondisi pandemik ini sewajibnya kita sudah bersedia dengan segala kemungkinan, menanggalkan pakaian mazmumah dengan menggantikan dengan pakaian taqwa mahmudah. Kini masanya kita bersiap siaga, istighasah, munajat dan melazimi taubat setiap hari, berpuasa sunat, berinfak tanpa jemu, mewakafkan harta pada jalan Allah. Berikan harta kita kepada pelbagai NGO Islam yang aktif kerana mereka lebih tahu kumpulan sasar yang memerlukan, juga kepada asatizah yang ikhlas membangun generasi Al-Quran. Setiap hari berusaha membayar hutang agar kita tak terbeban di akhirat.

Jadikan diri kita insan yang semakin sibuk beramal, menyegerakan taubat nasuha, membenci maksiat dan mungkar, seupaya mungkin dalam penyempurnaan solat lima waktu yang berkualiti, tak lupa menambah ibadah sunat, bangun malam bukan untuk melawaskan kelenjar testoron namun untuk bersimpuh memohon keampunan Tuhan. Sibukkan diri kita untuk turut mengajak orang lain untuk program normalisasi ibadah malam.

Cukuplah membuang masa percuma, ambik peluang menyertai daurah kitab secara maya, baiki bacaan Al-Quran kita serta berusaha membuat hafazan. Allah masih membuka peluang kepada kita semua, ambillah peluang ini tanpa bertangguh lagi. Kita semua dalam senarai daftar kematian, lambat atau cepat, bersedia atau tidak, masa itu tetap akan dating. Jom kita semua bertaubat! – HARAKAHDAILY 5/8/2021

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTAR.

- Advertisement -