51,150 bakul makanan diagih penduduk di lokasi PKPD

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sehingga 1 Ogos lepas kerajaan negeri menyediakan 51,150 bakul makanan kepada penduduk terjejas di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kedah.

Menurut Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, sumbangan yang bermula pada 1 Jun lalu itu melibatkan peruntukan sebanyak RM3.157 juta.

Katanya, sebanyak 19,000 bakul makanan akan ditambah minggu ini melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah.

Manakala bantuan makanan basah dan wang tunai kepada 1,256 rumah di Taman Bidara, Kuala Ketil yang dikenakan PKPD akan diagihkan dalam tempoh terdekat.

“Sumbangan barangan kering sudah diagih ke taman perumahan berkenaan dan selepas ini edaran makanan basah dan wang tunai akan diadakan,” kata beliau pada sidang media secara atas talian semalam.

Selain itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka gerai menjual barangan basah di Taman Bidara, Kuala Ketil.

Sanusi juga berkata, kebanyakan penduduk di Taman Bidara merupakan pekerja industri yang dibayar gaji mengikut hari bekerja.

“Ada yang bekerja dua hari seminggu, ada juga tempat kerja mereka ditutup. Kita akan membantu penduduk di situ supaya tidak terputus bekalan makanan,” tambahnya.

Katanya juga peruntukan sebanyak RM176,000 diluluskan untuk PKPD di lokasi terbabit.

Menteri Besar juga berkata, sejumlah RM892,092 dikumpul melalui Tabung Bantuan Covid-19 di Kedah yang disumbang pelbagai anak syarikat milik kerajaan. – HARAKAHDAILY 5/8/2021

- Advertisement -