Strategi perang Covid-19 di landasan betul

Saudari Pengarang,

BARU-baru ini, isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching memuji peningkatan pemberian vaksin Covid-19 di Malaysia yang meningkat hingga setengah juta suntikan setiap hari.

Dalam hantaran di akaun Facebooknya, Ho Ching menulis, kadar vaksinasi Malaysia sama seperti kadar semasa di Amerika Syarikat (AS), tetapi kuasa besar dunia itu mempunyai jumlah penduduk 10 kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia.

Ketika varian membimbangkan (VOC) Delta semakin mengganas, perang Malaysia terhadap Covid-19 terus diperhebatkan hingga kita berjaya mengatasi beberapa negara maju seperti AS, United Kingdom (UK), Singapura, Jepun, Korea Utara dan Kesatuan Eropah (EU) dari segi kepantasan vaksinasi Covid-19 bagi setiap 100 penduduk.

Advertisement

Usaha kerajaan turut mendapat pujian pakar-pakar kesihatan awam yang melihat Malaysia berada di landasan tepat untuk memastikan liputan penuh pemberian pelalian berkenaan dengan sasaran 100 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap vaksin Covid-19 menjelang Oktober ini.

Berdasarkan statistik ‘Our World in Data’, purata vaksinasi bagi setiap 100 individu di Malaysia adalah pada kadar 1.65 setakat 2 Ogos lalu, sehingga dirujuk sebagai tahap tersangat pantas.

Purata vaksinasi selama tujuh hari antara 26 Julai hingga 1 Ogos adalah 533,832 dos, iaitu lonjakan 26 peratus berbanding purata 423,265 dos yang diberikan pada minggu sebelumnya.

Secara purata, pemberian vaksin untuk Julai di Malaysia adalah 398,843 dos, iaitu 33 peratus melebihi sasaran asal sebanyak 300,000 dos.

Pakar-pakar kesihatan awam menyifatkan prestasi semasa vaksinasi negara menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berada pada momentum baik yang perlu dikekalkan atau boleh dipertingkatkan lagi bagi memastikan lebih ramai memperoleh manfaat suntikan pelalian berkenaan.

Vaksin ibarat ‘cahaya di hujung terowong’ dan ia strategi atau senjata paling penting untuk menang dalam perang melawan musuh tidak kelihatan dalam bentuk virus mengancam nyawa ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menyediakan butiran jumlah pesakit semasa yang sudah menerima vaksin dan mereka yang belum mendapat pelalian berkenaan.

Rekod pada 2 Ogos menunjukkan sebanyak 3,525 atau 22.4 peratus daripada 15,764 kes yang dilaporkan, mempunyai sejarah imunisasi Covid-19 dengan sekurang-kurangnya telah menerima satu dos vaksin.

Berdasarkan pecahan mengikut kategori pesakit pada hari yang sama, daripada kategori 1 hingga 5, menunjukkan peratusan mereka yang mempunyai sejarah imunisasi Covid-19 jauh lebih rendah daripada pesakit yang belum mendapat pelalian itu,

Bagi kategori 5, iaitu pesakit kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan dan rawatan lebih lama di hospital, seramai 85 pesakit yang direkodkan pada 2 Ogos adalah mereka yang tidak menerima imunisasi dan hanya dua kes membabitkan pesakit yang sudah mendapat suntikan vaksin.

Ini menunjukkan betapa pentingnya vaksin dalam melawan Covid-19 dan strategi yang dilaksanakan kerajaan ketika ini melalui operasi lonjakan vaksin dengan membenarkan kehadiran penduduk dewasa termasuk warga emas yang belum mendapat janji temu, dapat mempercepatkan kadar pemberian vaksin di negara kita.

Kita semua mahu melihat Malaysia berjaya keluar daripada krisis kesihatan ini dan usaha ke arah bukannya sesuatu yang mustahil walaupun diakui ia proses yang tidak mudah.

Lihat sahaja kejayaan hasil program vaksinasi di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak yang kini lega selepas ‘tenat’ akibat peningkatan mendadak jumlah kes Covid-19.

Labuan dan Sarawak bersama Perlis juga sudah beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyaksikan kelonggaran dalam beberapa sekatan. Harapan kita, semua negeri akan mengikut jejak yang sama dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Kini, marilah kita sama-sama berdoa agar dipermudahkan segala usaha kerajaan dalam perang melawan musuh tidak kelihatan ini, berdoa dan berharap tumpuan semua tidak terjejas dengan kemelut politik yang sedang mengganggu ketika ini.

ROZILAN MOHD FITRI
Bukit Jelutong, Selangor. – HARAKAHDAILY 4/8/2021