Solusi isu pakaian atlet wanita makin jelas

Azreen Nabila Alias
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

ISU lama yang solusinya kini kian semakin nyata dan jelas. Terima kasih kepada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang kini sedang berlangsung di Jepun.

Mungkin ada hikmahnya kenapa kejohanan Olimpik tersebut tetap diadakan biarpun dunia ketika ini masih berada dalam zon peperangan melawan serangan virus maut, Covid-19.

Setidak-tidaknya, temasya sukan antarabangsa berprestij yang menjadi tumpuan di seluruh dunia itu telah menyediakan tapak untuk memberikan laluan ke arah solusi isu pakaian atlet wanita yang sudah lama mencetuskan kontroversi dari segi ia dikatakan mencolok mata khalayak.

Isu yang sebelum ini menimbulkan kontroversi dalam kalangan atlet wanita negara-negara Islam termasuk Malaysia di kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa nyata telah memasuki episod baharu.

- Advertisement -

Ia pernah menjadi isu kontroversi hangat pada 2015 apabila sebuah stesen televisyen swasta tempatan memuat naik gambar Farah Ann Abdul Hadi di Facebook rasmi stesen TV tersebut, selepas atlet gimnastik artistik Malaysia itu menang pingat emas kategori rutin lantai di Kejohanan Sukan SEA 2015 yang berlangsung di Singapura.

Sementara pasukan bola keranjang wanita Qatar yang berhijab terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan apabila Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) melarang atlet wanita yang menutup aurat.

Namun pada Olimpik kali ini, isu tersebut bukan lagi sekadar berkisar dalam kalangan atlet wanita Islam tetapi juga bukan Islam.

Isu tersebut menjadi sejagat memandangkan atlet wanita kini bebas untuk mengenakan pakaian yang lebih sopan ketika bertanding di Olimpik.

Hampir dua pertiga 30 atlet wanita yang bertanding dalam badminton kali ini termasuk pemain Taiwan, Tai Zhu Ying dan pemain India, PV Sindhu memakai seluar pendek manakala yang lain termasuk pemain Belgium, Lianne Tan dan pemain Jepun, Nozumi Okuhara memilih untuk mengenakan skort, seluar pendek longgar yang kelihatan seperti skirt dari bahagian depan.

Senario ini memadam pendirian tidak adil terhadap hak asasi atlet wanita apabila beberapa pegawai di Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Olimpik 2012 menegaskan pemain wanita perlu memakai skirt untuk menjadikan sukan itu lebih feminin dan menarik kepada penonton dan penaja.

Jelas sekali, sebelum ini para atlet wanita lebih dilihat sebagai objek tarikan dan bukan seratus peratus terhadap kredibiliti mereka dalam sukan.

Justeru, perkembangan terbaharu di Olimpik Tokyo ini dilihat sebagai pencetus sokongan kepada perjuangan sukan patuh syariah yang sudah lama diperjuangkan di Malaysia, khususnya oleh kerajaan Terengganu pada 2019 yang mengumumkan atlet negeri tersebut akan beraksi di arena sukan dengan berpakaian mengikut syariat Islam.

Dan terbukti sukan patuh syariah diangkat ke peringkat global apabila ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias beraksi pada Olimpik kali ini.

Begitu juga pemain Badminton Iran pada Olimpik Tokyo 2020, Soraya Aghaei Hajiagha yang memakai baju berlengan panjang dan legging serta hijab ketika menentang pemain China, He Bing Jiao baru-baru ini.

Perkembangan mutakhir ini jelas menyediakan laluan mudah dan solusi yang jelas agar isu sukan patuhi syariah, khususnya dari segi pakaian para atlet Islam ini dibincangkan dengan lebih terperinci dan profesional di Malaysia untuk diaplikasikan pada masa akan datang.

Ia adalah sejajar dengan tanggungjawab atlet-atlet Muslim yang bukan sahaja menggalas amanah negara tetapi juga tanggungjawab kepada agama dengan mentaati syariat Allah SWT. – HARAKAHDAILY 4/8/2021

- Advertisement -