Puji tindakan bukti keabsahan, henti pertikai kedudukan PM

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuktikan keabsahannya sebagai perdana menteri menerusi usul undi percaya semasa sidang Parlimen bulan hadapan harus dipuji, kata Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Justeru, Dr Sahruddin berkata sebarang pertikaian ke atas kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri perlu dihentikan.

- Advertisement -

Ini kerana kerajaan PN perlu melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

“Semua Ahli Parlimen diseru untuk mengetepikan kepentingan politik masing-masing dan seterusnya memberi tumpuan penuh kepada usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini ini bagi mengulas perutusan khas Perdana Menteri.

Beliau berkata penumpuan harus diberikan kepada usaha meningkatkan kadar pemberian vaksin kepada rakyat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan serta menyempurnakan usaha membantu rakyat.

PN Johor menyokong teguh kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk terus mengemudi kerajaan ini, katanya. – BERNAMA

- Advertisement -