Pembangkang benar-benar terdesak sekarang

- Advertisement -

MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Pembangkang dan media pro mereka dianggap benar-benar terdesak sehingga terpaksa memberi gambaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) hilang majoriti.

Sedangkan dakwaan yang cuba diberi Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebenarnya bukan perkara baru, sebaliknya pernah diuar-uarkan pada 16 September 2018.

Dan gimik yang sama diulang-ulang lagi tahun lepas sehingga rakyat menjadi mual terhadap politik murahan pembangkang.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan Abdul Malik Abdul Karim berkata, pembangkang juga berlindung di sebalik nama NGO dengan mengadakan siri himpunan di Kuala Lumpur.

Katanya, himpunan anak muda yang berpakaian serba hitam di Kuala Lumpur, Sabtu lepas tidak mampu menyembunyikan dalang di sebaliknya.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk berhimpun semata-mata mahu melaungkan slogan hidup rakyat, bangkit rakyat dan kerajaan gagal.

“Perhimpunan seumpama itu biarpun dibenarkan atas nama demokrasi, namun situasi sekarang dengan penularan wabak perlu diberi perhatian serius kerana boleh meragut nyawa.

“Jika tiada pandemik Covid-19 mereka hendak berhimpun tiga hari tiga malam dengan kebenaran pihak berkuasa pun tiada masalah,” katanya di sini.

Pada Sabtu, lepas anak-anak muda yang mewakili Sekretariat Solidariti Rakyat berhimpun dilaporkan berhampiran Dataran Merdeka.

Kumpulan yang sama juga berhimpun di Dataran Merdeka pada Julai lepas dengan mengibar bendera hitam dan replika ‘mayat’.

Abdul Malik juga berkata, perhimpunan serupa diadakan di laluan masuk ke Parlimen Isnin lepas yang membabitkan ahli-ahli parlimen pembangkang.

“Siri himpunan itu tidak boleh dinafikan ada dalangnya di mana akhirnya pembangkang menampilkan wajah mereka.

“Malangnya mereka tidak memanfaatkan sidang khas Dewan Rakyat minggu lepas bagi menyelesaikan rakyat yang kini hidup dalam tekanan ekoran penularan Covid-19,” katanya.

“Sidang khas Parlimen itu mendukacitakan kita, apabila pembangkang tidak sabar merebut kuasa politik ketika wabak menular di Parlimen,” ujarnya.

Kata beliau pembangkang mempamerkan aksi ghairah dan kelam kabut demi kepentingan peribadi pemimpin tertentu. – HARAKAHDAILY 4/8/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -