Peletakan jawatan saya tidak berbangkit – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa peletakan jawatan beliau di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.

Menurutnya, beliau telah dititah menghadap oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 11.00 pagi hari ini.

“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

- Advertisement -

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” ujarnya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 tengah hari ini.

Namun, katanya beliau juga sedar bahawa kedudukannya sebagai Perdana Menteri sering kali dipersoalkan.

“Maka, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen,” ujarnya.

Beliau berkata, suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.

Menurutnya, melalui cara itu, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

“Alhamdulillah, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan saya ini,” jelasnya.

Ahli Parlimen Pagoh itu memaklumkan, semalam beliau telah menerima warkah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memaklumkan kepadanya terdapat lapan orang Ahli Parlimen Umno telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepadanya.

Di dalam warkah itu, katanya Yang di-Pertuan Agong telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pertama, ujarnya Perkara 43 (2) (a) iaitu: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”.

Kedua, jelasnya Perkara 43 (4) iaitu: “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

“Sehubungan itu, saya telah dititah menghadap oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 11.00 pagi hari ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/8/2021

- Advertisement -