PAS pandang serius perkembangan terkini kemelut politik

KUALA LUMPUR: PAS memandang serius perkembangan terkini mengenai kemelut politik yang sedang berlaku dalam kerajaan.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebarang kenyataan mengenai pendirian PAS terhadap kemelut yang berlaku hanya akan dikeluarkan Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sahaja.

Advertisement

Katanya, ketika ini PAS menegaskan akan terus mendukung kerajaan Perikatan Nasional dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selain itu bersama-sama memberi tumpuan bagi menangani penularan wabak Covid-19 melalui strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang digerakkan oleh kerajaan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, PAS akan terus komited untuk membantu rakyat yang terkesan dalam menghadapi keadaan yang sukar sekarang.

Justeru, kata beliau diharap seluruh rakyat Malaysia bersabar dan memberikan kerjasama ke arah usaha menangani Covid-19. – HARAKAHDAILY 4/8/2021