Lelaki warga Nigeria dihukum mati bunuh ketua jururawat

- Advertisement -

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang lelaki warga Nigeria selepas didapati bersalah membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang Siti Kharina Mohd Kamarudin pada Mei 2019.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 38, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

- Advertisement -

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata kenyataan tertuduh bahawa dia telah meninggalkan kediaman mangsa pada 8 Mei 2019 adalah bertentangan dengan bukti rakaman kamera litar tertutup di Kondominium Third Avenue, Cyberjaya, yang merakam kelibat tertuduh pada keesokan hari.

“Maka kenyataan tertuduh bahawa beliau tidak lagi bersama mangsa pada 8 Mei 2019 dan telah meninggalkan kediaman itu hanyalah semata-mata penafian,” katanya.

Beliau berkata pihak pembelaan juga tidak mempertikaikan baju yang dipakai tertuduh pada hari kejadian yang mempunyai kesan darah dan asid deoksiribonukleik (DNA) milik mangsa.  

Namun, katanya, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman itu sehingga selesai keputusan rayuan pihak pembelaan di Mahkamah Rayuan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Shafinah Taib.

Gilbert dituduh membunuh Siti Kharina di sebuah unit Kondominium Third Avenue, Cyberjaya antara pukul 12.41 pagi, 9 Mei 2019 hingga 2.30 petang, 15 Mei 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pada 16 Mei 2019, media melaporkan penemuan mayat Siti Kharina selepas polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat darah mengalir keluar daripada unit kondominium berkenaan.

Mayat ketua jururawat itu ditemui terbaring dalam keadaan tidak berpakaian lengkap selain terdapat kesan kelar pada dada, leher serta kepala mangsa dan polis percaya Siti Kharina telah dibunuh dalam tempoh empat hingga lima hari berdasarkan keadaan mayatnya. – BERNAMA

- Advertisement -