Gimnastik Jerman rintis pakaian ‘sopan’ di Sukan Olimpik

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tindakan skuad gimnastik wanita Jerman tampil dengan pakaian lebih ‘sopan’ pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dianggap satu perkembangan positif.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, perkembangan positif itu turut menggambarkan bahawa isu aurat dan maruah wanita merentasi agama dan bangsa.

“Kita melihat ia sebagai satu perkara yang positif dan menyedari maruah wanita termasuk pakaian yang sopan adalah isu universal merentasi agama dan bangsa.

“Jadi apa yang diperjuangkan sebelum ini bukanlah isu Islam yang yang sering dimanipulasi sebagai tertutup dan kolot, malah ia langkah kehadapan untuk kita membawa perubahan dalam dunia sukan.

“Tumpukan pada merit sukan itu sendiri bukan mengeksploitasi batang tubuh atlet wanita sebagai tarikan dan ukuran,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Media melaporkan skuad gimnastik wanita Jerman memilih menggunakan seragam yang lebih ‘sopan’ ketika bersaing di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tindakan atlet gimnastik Jerman tersebut dikatakan sebagai simbolik untuk memerangi gangguan seksual dalam sukan berkenaan.

Langkah gimnas Jerman itu mendapat pujian di seluruh dunia dan menamatkan tradisi di temasya Sukan Olimpik sebelum ini menggunakan pakaian leotard ketika beraksi.

Mumtaz juga berkata, perkembangan yang berlaku itu turut menjadi peneraju dalam perubahan ke arah pematuhan syariah Islam dalam konteks sukan.

Kelantan sebelum ini antara negeri yang menjadi perintis perubahan pematuhan syariat dalam acara sukan.

Malah Kelantan juga merintis acara sukan bina badan patuh syariat pertama di negara ini. – HARAKAHDAILY 4/8/2021

- Advertisement -